KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Usaha Malaysia menterjemah 3,200 hadis ke dalam bahasa Melayu melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dihargai tokoh ulama hadis terkemuka Jordan Syeikh Dr Hammam Abdul Raheem Said Melhem.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata penghargaan itu dizahirkan Dr Hammam yang juga Pengerusi Global Al-Quds Antarabangsa pada kunjungan hormat kepada beliau di bangunan Parlimen, hari ini.
“Dalam pertemuan ini, beliau turut menyarankan agar karya agung tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan masyarakat antarabangsa.
“Saya telah menzahirkan penghargaan dan komitmen untuk berbincang lanjut bersama DBP bagi merealisasikan cadangan ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pertemuan itu turut dimanfaatkan dengan berkongsi usaha kerajaan memperkasakan institusi tahfiz di Malaysia melalui pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz bagi melahirkan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dan kemahiran profesional.
“Syeikh Dr Hammam menyambut baik usaha ini dan menyifatkannya sebagai satu amanah besar yang wajib dipikul bagi melahirkan pemimpin umat yang seimbang antara iman dan ilmu.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Syeikh Dr Hammam atas masa dan komitmen yang beliau berikan. Semoga hubungan keilmuan antara Malaysia dan Jordan terus diberkati dan memberi manfaat besar kepada ummah seluruhnya. Insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial