EKONOMI > BERITA

PERJANJIAN PERDAGANGAN MALAYSIA-AS DORONG RINGGIT DITUTUP TINGGI

27/10/2025 07:07 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin, susulan sentimen positif selepas termeterainya perjanjian perdagangan antara Malaysia dan AS semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2085/2135 berbanding dolar AS daripada 4.2210/2255 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan berada “di tapak yang lebih kukuh” apabila ia meningkat sebanyak 0.27 peratus berbanding dolar AS.

Selain itu, beliau berkata laporan terbaharu Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang lebih rendah daripada jangkaan pada September menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka melaksanakan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas apabila ia bermesyuarat dari 28 hingga 29 Okt.

“Langkah ini akan mengecilkan jurang antara kadar dana Fed dan kadar dasar semalaman (OPR) yang berpotensi memberi kesan positif kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.7550/7582 daripada 2.7592/7623 ketika ditutup pada Jumaat, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6158/6225 daripada 5.6232/6292 dan turut menokok berbanding euro kepada 4.8974/9032 daripada 4.9010/9062.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2460/2502 daripada 3.2484/2521, mengukuh berbanding baht Thai kepada 12.8633/8837 daripada 12.8768/8952 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 253.1/253.6 daripada 254.2/254.6 ketika ditutup pada Jumaat.

Ringgit turut mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.14/7.16 daripada 7.20/7.21 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan