KUALA TERENGGANU, 27 Okt (Bernama) -- Terengganu mencatat jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.3 bilion setakat September tahun ini, dipacu oleh sektor tenaga boleh baharu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pencapaian itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap daya saing Terengganu sebagai destinasi pelaburan utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Beliau berkata pelaburan itu dijangka mewujudkan 1,981 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri pilihan pelabur yang merentas pelbagai sektor.
“Sebanyak 74 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan ini disumbangkan oleh sektor pembuatan, diikuti pelancongan (12 peratus); pertanian (lapan peratus) dan perkhidmatan (enam peratus) yang mencerminkan ekosistem pelaburan negeri yang pelbagai dan seimbang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini.
Beliau berkata pendorong utama bagi pelaburan komited pula ialah projek solar hibrid bernilai RM2.9 bilion di Tasik Kenyir hasil usaha sama antara TNB Genco Sdn Bhd dan Terengganu Inc dengan fasa perintis projek ini telah dilancarkan pada 12 Julai lalu.
"Pelaburan direalisasikan pula telah mencapai jumlah bernilai RM1.6 bilion, membuktikan pembangunan berterusan dalam sektor perindustrian dan pelancongan negeri. Antara projek utama termasuk pembangunan Taman Perindustrian Kertih Terengganu oleh Retro Court Sdn Bhd yang akan menjadi hab strategik industri berinsentif tenaga dan hiliran.
"Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini dan komitmen kami untuk membangunkan ekonomi yang berdaya tahan serta berpandangan jauh.
"Daripada tenaga boleh baharu dan pembuatan hingga ke pelancongan serta pertanian, kami sedang membina asas ekonomi yang pelbagai untuk menjamin pertumbuhan mampan dan manfaat jangka panjang untuk rakyat," katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata pihaknya juga sedang mempergiat pembangunan infrastruktur dan aset pelancongan utama untuk meningkatkan lagi daya tarikan pelabur dan pelancong.
Menurut beliau antaranya projek naik taraf laluan eksekutif Lapangan Terbang Sultan Mahmud-KTCC (KTAR2) yang bakal menyediakan perjalanan terus antara lapangan terbang dan pusat bandar serta Promenade KTCC Fasa 1 yang membuka ruang kepada pembangunan komersial dan rekreasi baharu di kawasan Muara Utara dan Muara Selatan Kuala Terengganu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial