KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- CelcomDigi Bhd telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Terengganu Incorporated Sdn Bhd untuk memacu pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) merentasi kumpulan anak syarikat negeri itu.
Pengendali rangkaian mudah alih tersebut melalui satu kenyataan berkata inisiatif itu dibuat susulan satu siri bengkel yang dijalankan di antara kedua-dua organisasi untuk mengenal pasti peluang serta keutamaan dalam memajukan transformasi digital Terengganu.
“Di bawah kerjasama ini, Terengganu Inc akan memanfaatkan kepakaran digital dan AI CelcomDigi bagi mempercepatkan perjalanan transformasinya.
“Berdasarkan penilaian kemampuan yang dibuat terhadap 13 anak syarikat organisasi itu, CelcomDigi akan bersama-sama membangunkan satu Kerangka Kerja Strategik AI bertujuan mengatasi serta memperkuat aspek utama dalam kesalinghubungan, keselamatan siber, infrastruktur awan, Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan kesiapsiagaan data,” katanya.
Kerangka kerja itu bakal menjadi rangka tindakan strategik untuk memodenkan operasi, meningkat kecekapan termasuk memperkukuh keupayaan kumpulan sejajar dengan wawasan negeri Terengganu bagi mencapai tahap ekonomi berteraskan ekonomi yang dipacu teknologi dan berdaya mampan.
Kerjasama ini dibina atas usaha berterusan untuk mengenal pasti peluang yang dapat memperkukuh industri-industri utama dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Dengan mendigitalkan sektor teras, kedua-dua organisasi berhasrat untuk membuka kunci kecekapan baharu, memperkasakan perusahaan tempatan selain meningkatkan perkhidmatan awam, memacu kemajuan teknologi yang mampan, yang akan menyokong ketahanan dan daya saing jangka panjang Terengganu selaras dengan matlamat digital Malaysia,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial