JOHOR BAHRU, 29 Okt (Bernama) -- OTS Holdings Ltd, pembina jenama dan kumpulan pengeluar makanan mengembangkan kapasiti pengeluaran halal mereka dengan membuka kemudahan pembuatan makanan termaju yang baharu bernilai RM40 juta di Simpang Renggam, Johor.
Kemudahan itu yang diperakui halal sepenuhnya dan dilengkapi dengan mesin serta sistem automasi makanan dan minuman yang canggih, akan meningkatkan tiga kali ganda pengeluaran halal kumpulan itu di Singapura kepada 200 tan sebulan.
Majlis pembukaan secara rasmi semalam, disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han bersama wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Enterprise Singapore, Persekutuan Perniagaan Singapura, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, serta beberapa rakan kongsi dalam sektor perbankan, perniagaan dan industri.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MIDA dan OTS Holdings berkata hartanah itu telah diperoleh oleh Ellaziq, sebuah unit OTS Holdings pada November 2023 dengan harga RM14.3 juta dan sejak itu telah menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf yang meluas bagi memenuhi standard operasi, keselamatan makanan dan kawalan kualiti.
Kemudahan itu yang meliputi kawasan seluas 178,863 kaki persegi dengan keluasan binaan 65,000 kaki persegi dikhususkan secara eksklusif untuk pengeluaran halal dan memperoleh pensijilan halal pada Ogos 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pembukaan kemudahan baharu Ellaziq mengukuhkan lagi kedudukan strategik Malaysia dalam ekonomi halal global terutamanya dalam sektor pengeluaran makanan termaju.
“Ia merupakan bukti jelas keyakinan yang diberikan oleh pembina jenama antarabangsa terhadap ekosistem, infrastruktur dan tenaga kerja mahir di Malaysia.
“Pengembangan ini memanfaatkan kedekatan dan sinergi ekonomi antara Johor dan Singapura, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan serantau dan meningkatkan kapasiti halal negara kita untuk memenuhi keperluan pengguna Islam dan mereka yang mengutamakan produk yang diperakui halal di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata projek itu selaras dengan agenda ekonomi kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan menggalakkan penggunaan mesin termaju dalam sektor pembuatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan OTS Holdings Ong Bee Chip berkata kemudahan baharu di Johor menekankan komitmen syarikat untuk memenuhi keperluan pengguna Islam yang sentiasa berkembang di peringkat global.
“Tumpuan kami bukan sahaja untuk meningkatkan jumlah (pengeluaran), tetapi juga untuk mencipta produk yang selaras dengan nilai dan jangkaan komuniti Islam sambil mengekalkan standard kualiti dan keselamatan makanan yang ketat,” katanya.
Beliau menambah peningkatan kapasiti halal ini akan memperkukuh keupayaan eksport kumpulan itu, membolehkan jenama halal yang dipercayai menjangkau pasaran seperti Malaysia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Timur Tengah dan Afrika.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial