EKONOMI > BERITA

PDT, UEM LESTRA JALIN KERJASAMA PACU PROJEK SOLAR HIBRID 1GW DI JOHOR

29/10/2025 01:10 PM

ISKANDAR PUTERI, 29 Okt (Bernama) -- Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dan UEM Lestra Berhad (UEM Lestra) memeterai Perjanjian Kerjasama untuk melaksanakan projek hibrid solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 1 gigawatt (GW) di Segamat, Johor.

Kerjasama strategik itu bertujuan mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu di negeri ini sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai peneraju utama negara dalam sektor tenaga bersih.

Pengerusi Eksekutif Johor Sustainability Centre Datuk Seri Hasni Mohammad berkata usaha sama berkenaan mencerminkan pendirian proaktif Johor dalam menyokong pembangunan mampan berasaskan tenaga hijau.

“Projek hibrid solar di Segamat ini bukan sekadar mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga bakal mencipta peluang bermakna kepada rakyat Johor,” katanya ketika berucap merasmikan program Accelerating Malaysia’s Green Transition From Vision To Action – Southern Region Edition di Sunway Hotel Big Box di sini, hari ini.

Hasni yang juga Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor berkata kerjasama itu turut memperkukuh sektor ekonomi hijau negeri serta meletakkan Johor sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Beliau berkata setiap inisiatif berkaitan tenaga bersih perlu memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat dan pemuliharaan alam sekitar.

Terdahulu, Hasni mewakili Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PDT Datuk Ramlee A Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra Harman Faiz Habib Muhamad.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Mohd Noorazam Osman.

Sementara itu, Harman Faiz berkata projek solar hibrid itu mencerminkan komitmen UEM Lestra terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif yang menitikberatkan aspek kemampanan alam sekitar.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja membantu Johor menerajui sektor tenaga boleh baharu, tetapi juga membawa manfaat bermakna kepada komuniti setempat,” katanya.

Projek hibrid solar itu akan menggabungkan sistem solar fotovoltaik (PV) dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi membolehkan tenaga yang dijana disimpan dan digunakan secara lebih efisien.

Menerusi perjanjian ini, PDT akan bertindak sebagai rakan penyelaras utama untuk memudahkan urusan dengan pihak berkuasa negeri serta menarik penyertaan syarikat korporat untuk memperoleh tenaga hijau.

UEM Lestra, anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad akan mengetuai pembangunan dan pelaksanaan projek menerusi syarikat usaha samanya, Lestra HEXA yang dijangka siap dan mula beroperasi pada suku pertama 2028.

Projek itu dijangka menjana lebih 1 juta megawatt jam (MWh) tenaga hijau setahun dan mengurangkan sehingga 800,000 tan pelepasan karbon setiap tahun.

Sebagai antara projek utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), inisiatif ini menyumbang secara signifikan kepada matlamat dekarbonisasi negara dan selari dengan Dasar Tenaga Boleh Baharu Johor 2030 yang menumpukan tenaga solar sebagai sumber utama tenaga bersih.

Projek berkenaan dijangka mewujudkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang fasa pembinaan dan operasi, sekali gus memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan dalam teknologi tenaga hijau.

Majlis itu turut menandakan penutup siri jelajah nasional UEM Lestra yang mempromosikan platform bidaan tenaga hijau di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dengan kerjasama Bursa Carbon Exchange, anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Berhad.

Kerjasama strategik ini turut menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui pembangunan tenaga hijau yang mampan dan berimpak tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan