KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) merancang untuk menerbitkan dokumen dasar mengenai penggunaan ta’awun (bantuan bersama) yang lebih meluas dalam takaful menjelang akhir tahun ini.
Dokumen dasar ini akan menggariskan keperluan Syariah dan pengawalseliaan yang bertujuan untuk merungkai potensi penuh takaful dalam usaha menggalakkan daya tahan kewangan dan rangkuman kewangan, selaras dengan objektif Syariah (maqasid Syariah).
Menurut BNM dalam kenyataan hari ini, inisiatif itu adalah antara hasil utama daripada Mesyuarat Keenam Forum Badan Berautoriti Syariah Berpusat (CSAF) pada 15 Okt 2025 yang dihoskan oleh BNM di Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini terus menjadi platform utama bagi badan-badan berautoriti Syariah berpusat untuk bertukar-tukar pandangan dan memperkukuh kerjasama antara negara dalam usaha memajukan kewangan Islam.
Pengerusi Majlis Penasihat Shariah BNM Datuk Prof Dr Ashraf Md Hashim mempengerusikan mesyuarat itu yang telah menghimpunkan lebih 50 delegasi daripada 10 negara peserta serta badan penetapan piawaian Islam antarabangsa.
Bank pusat berkata badan berautoriti daripada negara peserta telah berkongsi pengalaman masing-masing dalam usaha memajukan kewangan Islam, termasuk peralihan daripada perbankan konvensional, penjajaran kewangan Islam dengan matlamat pembangunan negara dan penggunaan instrumen kewangan sosial untuk menyokong komuniti.
“Pendekatan yang pelbagai ini, yang dibentuk berdasarkan latar tempatan, telah memperkaya pemahaman bersama dan kemajuan landskap kewangan Islam global,” menurut BNM.
Mesyuarat itu turut membincangkan pembaharuan undang-undang baru-baru ini yang mengiktiraf dana takaful sebagai entiti undang-undang yang berasingan.
Sehubungan itu, mesyuarat mengambil maklum bahawa Central Bank of the United Arab Emirates merancang untuk memperkukuh rangka kerja tadbir urus dana takaful bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan Syariah.
Berkaitan instrumen baharu seperti mata wang digital bank pusat, mesyuarat berkenaan turut membincangkan asas-asas wang moden dan implikasi Syariah yang dikaji berdasarkan kertas kajian asas terbitan BNM.
Menurut BNM mesyuarat secara rasminya menerima terma rujukan bagi platform CSAF, menandakan langkah penting dalam memperkukuh struktur tadbir urus, memperjelas peranan dan tanggungjawab serta memantapkan penyelarasan dalam kalangan anggota badan berautoriti untuk mencapai objektif strategik bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial