KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sejumlah 5,149 unit pengecas kereta elektrik (EV) awam telah dipasang di seluruh negara setakat 30 September, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat, MITI berkata daripada jumlah ini, 1,709 unit adalah jenis arus terus (DC) manakala 3,440 unit adalah jenis arus ulang-alik (AC).
"Dengan nisbah jumlah kemudahan pengecas EV awam sedia ada kepada jumlah kenderaan elektrik bateri (BEV) iaitu 1 kepada 8, jumlah pengecas EV awam ini adalah mencukupi untuk menampung kegunaan kira-kira 42,000 unit BEV bagi kenderaan penumpang yang telah berdaftar sehingga kini," kata MITI.
MITI menjawab soalan yang dikemukakan oleh Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai jumlah pengecas EV di seluruh negara dan cabaran mencapai sasaran 10,000 unit menjelang akhir 2025.
Menurut MITI, walaupun jumlah keseluruhan pengecas EV awam masih belum mencapai sasaran, jumlah bagi pengecas jenis DC telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 114 peratus daripada sasaran 1,500 unit.
"Keadaan ini menunjukkan perubahan corak penggunaan dalam kalangan pemilik kenderaan elektrik yang semakin cenderung kepada perkhidmatan pengecas pantas.
"Pengecas jenis DC adalah lebih sesuai untuk pengguna yang memerlukan pengecasan pantas ketika dalam perjalanan jauh atau di lebuh raya," katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan daripada Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, MITI berkata pengecualian cukai jalan bagi BEV akan tamat pada 31 Disember 2025 dan cukai akan dikenakan bermula 1 Januari 2026.
Menurut MITI, kadar baharu cukai telah dilaraskan mengikut kapasiti motor elektrik (output kuasa kW) -- masih lebih rendah berbanding kadar cukai jalan kenderaan berasaskan kapasiti enjin pembakaran dalaman.
"Dasar Kerajaan kekal konsisten dalam menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga dan kenderaan janaan elektrik (xEV), termasuk BEV.
"Fokus kerajaan adalah untuk membangunkan aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi dalam negara, khususnya pemasangan kenderaan elektrik secara tempatan, serta pembangunan vendor tempatan bagi pengeluaran komponen kritikal EV seperti bateri EV," tambah MITI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial