Oleh Samantha Tan
PUTRAJAYA, 2 Nov (Bernama) -- Kerjasama Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dalam mineral kritikal membuka pintu kepada kemasukan pelaburan dan teknologi AS yang baharu serta pembangunan keupayaan unsur nadir bumi (REE) hiliran daripada pengekstrakan dan pemisahan kepada pembuatan termaju.
Malaysia mempunyai anggaran 16.2 juta tan deposit nadir bumi yang kurang digunakan.
Daripada mengeksport bijih yang tidak diproses, Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat AS untuk membangunkan keupayaan hiliran daripada pengekstrakan kepada penapisan dan pembuatan produk bernilai tinggi, menurut Penganalisis Hal Ehwal Luar, Strategi dan Keselamatan Universiti Malaya Collins Chong Yew Keat.
Perjanjian berkaitan mineral kritikal antara AS dan Malaysia yang baru dimeterai akan membuka peluang untuk manfaat bersama, katanya.
Chong berkata syarikat-syarikat Amerika yang membawa masuk modal dan teknologi boleh melabur dengan yakin dalam projek perlombongan dan pemprosesan Malaysia, memandangkan persekitaran dasar negara stabil dan mekanisme kawal selia dalam kedudukan kukuh.
"Terdapat kelebihan besar untuk Malaysia dalam kerjasama nadir bumi ini. Ia meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global untuk pembuatan berteknologi tinggi. Unsur nadir bumi adalah penting untuk sektor termasuk semikonduktor, bateri kenderaan elektrik, turbin angin dan juga teknologi pertahanan, justeru ia merupakan aset geopolitik penting yang dicari," katanya kepada Bernama
Teknologi dan pemindahan pengetahuan
Chong berkata AS bukan sahaja membawa kapasiti pemindahan teknologi dan pengetahuan yang diperlukan, tetapi paling penting, mekanisme berasaskan nilai dan rangka kerja struktur berdasarkan tonggak kepercayaan, pengawasan, piawaian, dan pematuhan hak.
Semuanya amat diperlukan untuk peralihan negara daripada model ekstraktif dan ekonomi berasaskan eksport kepada ekonomi berasaskan nilai ke arah cita-cita berpendapatan tinggi.
Ia juga mengintegrasikan lagi kehadiran AS di rantau ini dalam menyediakan payung ekonomi dan keselamatan yang diperlukan, sambil menawarkan akses berterusan ke pasaran terbesar dan paling makmur di dunia setakat ini.
Beliau berkata dengan Malaysia boleh memperoleh bahagian keuntungan dan pekerjaan yang lebih besar daripada kekayaan mineralnya dan bukannya sekadar mengeksport bijih mentah dengan memupuk industri pemprosesan dan nilai tambah tempatan.
Memanfaatkan kepakaran teknikal dan pelaburan AS, tambahny akan meningkatkan pertumbuhan perindustrian Malaysia, mewujudkan pekerjaan mahir dan membuka aliran eksport baharu.
Perjanjian Perdagangan
Chong berkata AS telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015 dengan eksport bernilai RM161.3 bilion pada 2023, kedua tertinggi dalam rekod, sebahagian besarnya dipacu oleh produk elektrik dan elektronik.
Di bawah perjanjian perdagangan baharu, Washington akan mengekalkan tarif 19 peratus ke atas kebanyakan eksport Malaysia, manakala Malaysia akan mengurangkan atau menghapuskan duti ke atas 98.4 peratus barangan AS, memastikan akses yang stabil ke pasaran masing-masing.
"Akses kepada pasaran yang paling penting, terbesar dan terkaya di dunia yang mempunyai 330 juta pengguna mewah (pengguna daripada golongan kaya) menyediakan peluang kepada perniagaan Malaysia yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara.
“Oleh itu, menjamin hubungan perdagangan yang stabil, adil dan berdaya tahan dengan Washington adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi dan produktiviti Malaysia," katanya.
Chong berkata syarikat-syarikat Amerika telah melabur lebih daripada RM200 bilion di Malaysia sejak 2021, termasuk US$16 bilion yang dijanjikan pada 2024 oleh syarikat teknologi terkemuka seperti Google, Microsoft, Amazon dan Oracle untuk mengembangkan pusat data dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dengan lebih 600 firma AS kini beroperasi di dalam negara dan menggaji lebih 312,000 rakyat Malaysia.
Beliau berkata lawatan Presiden AS Donald Trump ke Malaysia baru-baru ini juga telah mengukuhkan lagi kerjasama teknologi dengan menghapuskan halangan dan membuka peluang baharu untuk inovasi dan perdagangan digital.
“Dengan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengenakan sebarang cukai perkhidmatan digital baharu yang mendiskriminasi firma AS, Malaysia mengalu-alukan syarikat teknologi dari AS sebagai rakan kongsi dalam transformasi digitalnya, ia akan menggalakkan pelaburan berterusan daripada pemain utama seperti Google dan Microsoft untuk membangunkan sektor AI dan pengkomputeran awan Malaysia,” katanya.
Chong berkata kedua-dua negara juga sedang meneroka kerjasama dalam teknologi angkasa lepas, bioteknologi dan pembuatan termaju, bidang di mana Malaysia berpeluang mendapat manfaat daripada kepakaran Amerika, sejajar dengan pelan tindakan pembangunan Malaysia sendiri yang mengutamakan peningkatan dalam rantaian nilai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial