EKONOMI > BERITA

MENTERI LUAR, PERDAGANGAN APEC SERU USAHA BERSAMA MANFAATKAN INOVASI DIGITAL

30/10/2025 09:49 PM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 30 Okt (Bernama) -- Menteri perdagangan dan menteri luar ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menyeru usaha bersama untuk memanfaatkan inovasi digital dan daya tahan rantaian bekalan serta meneguhkan komitmen terhadap kerjasama serantau.

Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo, yang menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-Menteri APEC hari ini berkata tatkala jurang digital semakin melebar antara ekonomi dan antara firma besar dan perniagaan kecil, Korea Selatan akan berusaha untuk memastikan semua ahli APEC berkongsi manfaat inovasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Bersandarkan kepada momentum ini, para menteri bertekad untuk menterjemahkan perbincangan yang diputuskan kepada satu hasil yang konkrit, demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Para menteri juga menekankan usaha untuk meningkatkan kesediaan digital, daya saing dan merapatkan jurang digital.

Dasar yang diselaraskan, kata mereka, penting untuk membina rantaian bekalan yang berdaya tahan dan pertumbuhan inklusif di seluruh rantau ini.

Para menteri juga sedar bahawa kekuatan ini datang bersama tanggungjawab yang semakin besar ketika rantau ini bergelut dengan perubahan demografi, gangguan teknologi dan aliran perdagangan yang distrukturkan semula.

Yeo sebelum ini berkata semangat keterbukaan perdagangan, yang telah berakar umbi di rantau ini, kekal sebagai elemen penting untuk mengharungi cabaran masa depan.

“Kisah kejayaan Korea Selatan mencerminkan pengalaman kebanyakan negara Asia-Pasifik. Sejak penubuhan APEC pada 1989, pemudahan perdagangan dan pelaburan telah mengeluarkan lebih satu bilion orang daripada belenggu kemiskinan.

"Di tengah-tengah perubahan besar dalam landskap ekonomi global, sekarang adalah masa yang amat sesuai untuk menghidupkan semula semangat keterbukaan dan kerjasama," katanya.

Yeo juga menyeru pengukuhan ketersambungan melalui plurilateralisme terbuka – pendekatan kerjasama yang fleksibel dan sukarela yang melengkapi sistem perdagangan pelbagai hala dan memperkukuh peranan APEC sebagai inkubator idea.

Beliau juga menekankan keperluan untuk memajukan perdagangan digital dan kerjasama kecerdasan buatan (AI), mengetengahkan inisiatif "AI untuk Perdagangan" Korea Selatan dan projek "AI untuk Rantaian Bekalan" yang akan dilancarkan pada 2026.

Menurutnya, ekonomi APEC kini menyumbang lebih satu pertiga daripada eksport perkhidmatan digital global dan menerajui teknologi AI.

Mesyuarat peringkat menteri itu menyediakan asas untuk Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC, yang akan diadakan mulai esok hingga 1 November, yang merupakan perbincangan terakhir bagi tahun APEC Korea Selatan.

APEC dengan populasi lebih daripada 40 peratus penduduk dunia, menyumbang lebih 60 peratus daripada ekonomi global dan 50 peratus perdagangn dunia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan