EKONOMI > BERITA

REHDA MENGALU-ALUKAN PENJELASAN MENTERI MENGENAI MODEL PERUMAHAN BTS, STB

03/11/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengalu-alukan penjelasan kerajaan bahawa kedua-dua sistem penyampaian perumahan iaitu "bina kemudian jual" (BTS) dan "jual kemudian bina" (STB) kekal tidak berubah.

Rehda melalui satu kenyataan hari ini berkata pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk mengekalkan sistem BTS serta STB dengan jelas menceminkan kesediaan kerajaan dalam memberi tumpuan kepada keperluan rakyat selain telah mempertimbangkan semua pendapat daripada pihak berkepentingan industri, seterusnya, memastikan industri hartanah tetap kukuh dan berkembang.

Presiden Rehda Datuk Ir Ho Hon Sang berkata STB menghasilkan pembinaan rumah yang lebih mampu milik sejak perumahan dikawal selia beberapa dekad lepas dan ianya telah membolehkan pemaju menyampaikan perumahan bagi memenuhi agenda perumahan negara.

"Pengenaan sistem BTS yang ketat akan memberi kesan negatif terhadap keupayaan itu, yang akan menjejaskan penyediaan perumahan yang mampu dimiliki," katanya.

Pembeli rumah masih mempunyai opsyen untuk membeli rumah BTS di pasaran sekunder, yang mana setiap tahun kira-kira 80-85 peratus daripada urus niaga perumahan berlaku pada dasar BTS.

"Skim BTS 10:90 digariskan dalam Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), dan kami menggalakkan pemaju yang mampu untuk mempertimbangkannya sekiranya mereka memiliki keupayaan," katanya.

Rehda juga menyatakan sokongan ke atas pelan pembaharuan perumahan yang dikemukakan oleh Nga di Parlimen dan berkata ia akan terus menggalakkan ahlinya untuk menegakkan peranan pembinaan negara mereka dengan menyediakan perumahan yang berkualiti serta mampu milik kepada rakyat dengan kaedah yang mampan dan menepati masa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan