KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Wasco Greenergy Bhd (Greenergy) telah memeterai perjanjian pengunderaitan dengan CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) dan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Greenergy, bahagian tenaga boleh baharu kumpulan syarikat Wasco Bhd, dijangka disenaraikan di Pasaran Utama menjelang Disember 2025. Kumpulan itu memiliki kepakaran dalam sistem tenaga stim biojisim, penjana stim pemulihan haba, sistem penjana turbin stim, sistem tenaga stim gas dan peralatan pengilangan minyak sawit yang lain.
Syarikat itu melalui satu kenyataan berkata IPO tersebut akan melibatkan penawaran sehingga 150 juta saham biasa, merangkumi terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu termasuk tawaran untuk penjualan sehingga 75 juta saham sedia ada, yang mewakili sehingga 30 peratus daripada modal saham kumpulan yang dibesarkan.
"Penawaran institusi akan melibatkan sehingga 119.50 juta saham IPO, yang terdiri daripada 75 juta tawaran saham serta 44.50 juta saham terbitan kepada pelabur institusi dan terpilih Malaysia termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, penawaran runcit akan terdiri daripada 30.50 juta saham terbitan kepada para pengarah serta kakitangan Greenergy dan anak-anak syarikatnya termasuk pengarah, kakitangan dan pemegang saham Wasco Bhd yang layak serta orang awam Malaysia pada harga runcit yang akan ditentukan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Yee Chong berkata IPO berkenaan mewakili episod baharu bagi kumpulan itu kerana ia akan mengembangkan keupayaan dan mengukuhkan peranannya dalam landskap tenaga boleh baharu di rantau ini.
"Dengan kepakaran kejuruteraan serta rekod prestasi pelaksanaan kami yang terbukti, kami mampu menyampaikan sistem tenaga yang inovatif dan lestari yang akan menyokong usaha nyahkarbon industri selain memacu penciptaan nilai jangka panjang," katanya.
"Ketika Malaysia serta rantau ini meneruskan peralihan mereka ke arah tenaga yang bersih, Greenergy komited bagi menyampaikan penyelesaian yang sejajar dengan matlamat kelestarian negara dan keutamaan iklim global," katanya.
CIMB IB merupakan penasihat utama serta penaja jamin, manakala CIMB IB dan Maybank IB berkhidmat sebagai penyelaras dan penaja jamin bersama IPO tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial