EKONOMI > BERITA

KEMUNCULAN SULUNG MR. D.I.Y. THAILAND DALAM BURSA, SASAR KUMPUL 5.6 BILION BAHT

15/10/2025 08:55 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 15 Okt (Bernama) -- MR. D.I.Y. Holding (Thailand) menyasar untuk mengumpulkan sehingga 5.6 bilion baht (US$173 juta) melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Bursa Saham Thailand pada 5 Nov tahun ini.

MR. D.I.Y Thailand melalui satu kenyataan berkata ia merancang melabur 4.5 bilion baht bagi membina pusat pengedaran automatik yang besar untuk meningkatkan kecekapan rantaian logistik dan bekalan. Ini membolehkan syarikat itu menyokong lebih daripada 1,500 cawangan selepas 2027 termasuk meningkatkan kecekapan kos.

Ia juga mahu berkembang ke seluruh negara dengan membuka sekurang-kurangnya 500 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun (2025-2027). 

IPO syarikat itu berharga antara 8.30 Baht hingga 8.60 baht sesaham (100 Baht = RM13.01), pelabur runcit akan dapat melanggan menjelang 20 hingga 22 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Andy Chin berkata industri runcit dalam pembaikan rumah Thailand dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 5.4 peratus iaitu daripada nilai pasaran berjumlah 182.6 bilion baht pada 2024 kepada 237.8 bilion baht menjelang 2029. 

Rantaian peruncit seperti MR. D.I.Y sedang berkembang lebih cepat daripada pasaran keseluruhan, dengan CAGR sebanyak 15.3 peratus.

"Sekarang ini, kami sedang meneraju pasaran dalam sektor kami, dengan penguasaan pasaran berjumlah sembilan peratus, mencerminkan asas kukuh kami.

"Pada masa yang sama, bahagian pasaran satu digit ini menunjukkan bahawa kami masih berada di peringkat awal sebelum membuka potensi penuh pasaran pembaikan rumah di Thailand," katanya kepada pemberita semasa pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Chin memberitahu syarikat itu telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak 16.2 bilion baht pada 2024, mewakili CAGR yang kukuh sebanyak 28 peratus, manakala kecekapan operasi yang mantap membantu ia mencapai keuntungan bersih sebanyak 1.7 bilion baht, menyaksikan CAGRnya menokok 30 peratus dalam tempoh yang sama. 

"Pengumpulan dana ini akan menyokong rancangan kami untuk mengembangkan kedai serta membangunkan sistem pengedaran automatik dan rangkaian bagi mencapai 1,500 cawangan di seluruh negara menjelang 2027," katanya. 

 Menurut kenyataan itu, MR. D.I.Y Thailand adalah peruncit pembaikan rumah serta gaya hidup yang terbesar dan paling pesat berkembang di negara ini, yang memberi khidmat kepada hampir 100 juta urus niaga pada tahun lepas.

Syarikat itu membuka kedai pertamanya pada 2016 dan kini mempunyai 1,000 kedai di 77 wilayah di Thailand dengan disokong oleh lebih 10,000 pekerja setakat 30 Jun 2025. 

Selain Malaysia dan Thailand, MR. D.I.Y turut beroperasi di Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, Vietnam, India, Turkiye, Bangladesh, Sepanyol, Poland dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan