EKONOMI > BERITA

KERAJAAN CADANG TUBUH PUSAT DATA LINDUNGI MAKLUMAT NEGARA - LIEW

05/11/2025 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan bercadang mewujudkan satu pusat data khusus untuk menyimpan semua data negara bagi melindungi kedaulatan maklumat, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata pusat data itu akan mematuhi piawaian sedia ada di bawah syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital yang telah ditetapkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Tiada isu kedaulatan atau maklumat kerajaan dikeluarkan oleh mana-mana pusat data setakat ini. Memandang ke hadapan, kita akan ada satu fasiliti atau pusat data khusus untuk data kerajaan serta memastikan kedaulatan dan maklumat negara selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai kebergantungan pusat data boleh menjejaskan kedaulatan data negara dan langkah-langkah untuk mengelak kebocoran data pada masa depan.

Liew berkata kerajaan turut bercadang menubuhkan satu pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan lesen operasi pusat data sebagai langkah memastikan pembangunan sektor itu tersusun dan mematuhi piawaian tenaga dan air.

“Untuk masa depan, kita akan memastikan kita ada pihak berkuasa pelesenan tunggal supaya semua pusat data diberikan lesen oleh satu badan sahaja,” katanya.

Pada masa ini, pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) dipengerusikan bersama oleh MITI dan Kementerian Digital serta dianggotai Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Malaysian Digital Economy Corporation dan agensi lain yang berkaitan berperanan untuk merangka dasar dan strategi bagi pembangunan lestari industri pusat data. 

Sementara itu, Liew berkata kerajaan telah meluluskan sebanyak 143 projek pelaburan pusat data dari 2021 hingga 30 Jun 2025.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 25 projek berstatus Malaysia Digital (MD) telah diluluskan insentif Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM144.4 bilion dan pelaburan ini dijangka mewujudkan sebanyak 1,429 pekerjaan baharu.

 Menjawab soalan asal Ling mengenai unjuran penggunaan elektrik dan air, katanya data ST menunjukkan penggunaan elektrik sebenar bagi pusat data seluruh negara setakat Jun 2025 adalah sebanyak 603MW (47 peratus) berbanding Permintaan Maksimum (MD) sebanyak 1,276MW (85 peratus).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan