EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA, AMINVEST LANCAR DANA ETF FTSE4GOOD BURSA MALAYSIA

05/11/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd dan AmInvest hari ini melancarkan dana dagangan bursa (ETF) FTSE4Good Bursa Malaysia yang pertama dan satu-satunya di negara ini yang memenuhi kriteria pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak terhadap inovasi produk, pemerkasaan pelabur serta kemajuan kemampanan dalam pasaran modal Malaysia.

“ETF FTSE4Good Bursa Malaysia meningkatkan lagi kepelbagaian penawaran ETF yang tersenarai di bursa -- daripada ekuiti domestik dan serantau kepada pendapatan tetap, komoditi, aset patuh syariah dan kini syarikat tersenarai yang menumpukan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Bursa Malaysia membangunkan pasaran yang menawarkan lebih banyak pilihan, mudah tunai lebih mendalam serta lebih banyak peluang bagi pelabur mencapai matlamat kewangan mereka, sama ada menerusi sekuriti seperti ETF, derivatif dan lain-lainnya,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia Julian M Hashim pada majlis pelancaran dana itu di sini, hari ini.

Fad'l berkata terdapat 15 ETF yang tersenarai di Bursa Malaysia setakat ini yang merangkumi tujuh patuh syariah dan lapan konvensional, sekali gus mencerminkan kepelbagai pilihan untuk pelabur.

Selain itu pada 2024, jumlah akaun runcit yang melabur dalam ETF telah mencecah angka tertinggi iaitu melebihi 4,700 atau lonjakan sebanyak 164 peratus berbanding 2023.

“Bagi tempoh setakat akhir Oktober ini, jumlah itu meningkat kepada lebih 6,100 akaun yang membuktikan peningkatan serta minat berterusan terhadap kelas aset ini,” katanya.

Beliau berkata ETF FTSE4Good Bursa Malaysia itu turut menjejaki prestasi Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia yang diwujudkan bagi mengetengahkan syarikat-syarikat memaparkan amalan ESG yang kukuh.

“Konstituen atau komponennya adalah daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS dan disaring berdasarkan kriteria ESG yang telus serta jelas. Setakat Jun 2025, terdapat sebanyak 160 syarikat senaraian awam dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia,” katanya.

Fad’l berkata setiap tahun, syarikat tersenarai yang memaparkan amalan ESG yang kukuh akan dinilai secara berkala dengan prestasi keseluruhannya menunjukkan kemampuan yang menggalakkan.

Purata penarafan ESG konstituen dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia adalah pada skala 3.6 daripada lima mata setakat Jun tahun ini.

Beliau turut berkongsi mengenai dagangan ETF yang mencatat momentum dengan purata dagangan harian mencecah RM1.41 juta setakat akhir Oktober 2025 atau peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding 2024.

Ketika berkongsi sentimen sama, Pengarah Pasaran Sekuriti Bursa Malaysia Leong See Meng berkata pelabur muda kini semakin bijak membuat penilaian dari segi pendedahan dan kepelbagaian portfolio.

“Apa yang paling penting, mereka juga menyedari bahawa ETF adalah produk dengan kos lebih rendah serta fi pengurusan yang jauh lebih rendah berbanding dana amanah.

“Ini sejajar dengan objektif negara untuk mengembangkan lagi simpanan persaraan. Kami turut memupuk minat berjimat dan melabur dalam kalangan anak muda,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan