KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan masih belum menetapkan kadar yang sesuai untuk cukai karbon yang dijadualkan akan dilaksanakan pada tahun depan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kadar itu hanya akan diputuskan selepas Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) selesai dibentangkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta diluluskan di Parlimen tahun depan.
“Kita perlu menunggu RUUPIN kerana kita memerlukan metodologi standard untuk mengira pelepasan (karbon) dan mewujudkan penanda aras. Jika pelepasan (karbon) melebihi penanda aras itu, (barulah) cukai karbon dikenakan.
“Buat masa ini, Kementerian Kewangan belum membuat kajian yang mendalam untuk menentukan kadar cukai karbon yang patut dikenakan dan garis dasar penting (RUUPIN) akan diwujudkan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media antarabangsa menyatakan bahawa Malaysia akan mengenakan kadar cukai karbon sebanyak RM15 per tan bermula tahun depan.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata laporan itu turut bersifat spekulasi kerana kerajaan masih belum memuktamadkan kadar yang sesuai.
Katanya kerajaan akan menilai secara terperinci selepas RUUPIN diluluskan termasuk meneliti industri besi, keluli dan utiliti yang merupakan antara pengeluar gas karbon terbesar dalam negara sebelum menetapkan nilai kadar cukai karbon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial