EKONOMI > BERITA

TINDAKAN SEGERA DIPERLUKAN UNTUK TANGANI KESAN PERUBAHAN IKLIM YANG SEMAKIN MENINGKAT - SULTAN NAZRIN

06/11/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sumber saintifik dan kewangan harus disegerakan untuk memahami dan menangani kesan perubahan iklim, memandangkan peristiwa cuaca ekstrem bukan lagi jarang berlaku tetapi berulang dan semakin meningkat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah bahawa Rangka Kerja Sempadan Planet dibangunkan oleh Stockholm Resilience Centre dan Potsdam Institute for Climate Impact Research mengenal pasti sembilan sistem biofizikal kritikal yang bersama-sama mengawal selia kestabilan Bumi.

“Ini termasuk iklim, biodiversiti, penggunaan tanah, air tawar, dan aliran nutrien melalui tanah dan lautan. Melangkaui walaupun salah satu daripada sempadan ini menimbulkan risiko perubahan berantai yang tidak dapat dipulihkan.

“Bagaimanapun, bulan lepas, Potsdam mengesahkan bahawa tujuh Rangka Kerja Sempadan Planet telah melanggar had ditetapkan, terbaharu adalah pengasidan lautan. Ini bermakna manusia telah pun bergerak melangkaui ruang yang selamat untuk daya tahan jangka panjang,” titah baginda pada Majlis Makan Malam Pasaran Modal ASEAN semalam.

Sultan Nazrin bertitah tugas dan usaha itu bukan sekadar untuk menangani perubahan iklim tetapi untuk membawa seluruh ekonomi kita kembali dalam sempadan ini dalam kesemua sembilan bidang dalam sistem biofizikal kritikal.

Baginda menegaskan bahawa di seluruh dunia, pelbagai negara melabur berbilion-bilion dalam tenaga boleh baharu — daripada solar dan ladang angin kepada kuasa hidro dan hidrogen, perniagaan mengurangkan pelepasannya melalui kecekapan tenaga, bangunan lebih hijau dan armada kenderaan elektrik.

Baginda bertitah pasaran karbon muncul sebagai mekanisme yang berkuasa untuk membiayai pengurangan pelepasan karbon, melindungi ekosistem dan memperkasakan komuniti.

“Daripada projek tenaga boleh baharu kepada penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pasaran ini membantu menyediakan laluan untuk pertumbuhan rendah karbon.

“Namun, seperti mana-mana intervensi yang bertujuan untuk menambah baik kesihatan planet, kejayaan mereka bergantung pada kredibiliti dan ketelusan. Saya memuji Forum Pasaran Modal ASEAN kerana pandangan jauhnya dalam membangunkan Pelan Pembangunan Pasaran Karbon Sukarela peringkat rantau, satu langkah penting ke arah rangka kerja serantau boleh dipercayai untuk penyahkarbonan,” titah baginda.

Baginda turut memuji pengawal selia ASEAN atas usaha mereka dalam Mitigasi Manfaat Bersama dan Panduan Adaptasi untuk Daya Tahan yang mengukuhkan Rangka Kerja ASEAN dan menyediakan laluan praktikal untuk daya tahan pembiayaan.

Sementara itu, Sultan Nazrin menggesa Malaysia untuk menegaskan rasa akauntabiliti moral yang lebih besar dalam cara ia mentakrifkan kemakmuran, baginda bertitah bahawa sudah terlalu lama, mengejar keuntungan tanpa mengambil kira akibatnya kepada alam sekitar dan sosial. Tetapi keuntungan tanpa tujuan adalah rapuh; ia menjejaskan sistem yang mengekalkannya.

Titah baginda, meletakkan maruah manusia dan empati sebagai nadi kewangan, dan melindungi kesejahteraan generasi akan datang, adalah penting kepada aspirasi dan prinsip yang terkandung dalam Garis Panduan Maqasid Al-Shariah Suruhanjaya Sekuriti (SC) 2023 untuk Pasaran Modal Islam Malaysia.

Garis panduan SC itu menyediakan kompas etika (prinsip Etika Islam) untuk menyelaraskan sistem kewangan dengan prinsip kesihatan planet.

Sultan Nazrin bertitah Malaysia ketika ini telah merangka hala tujunya sendiri melalui Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara, satu rangka kerja kebangsaan yang pertama seumpamanya di dunia, menterjemahkan sains kesihatan planet dan sempadan planet kepada tadbir urus praktikal serta tindakan ekonomi.

“Ia merupakan pelan tindakan bagaimana perniagaan, kerajaan dan masyarakat boleh bekerjasama untuk menyelaraskan semula pertumbuhan dengan had/batasan Bumi. Bagaimanapun, Pelan Tindakan ini juga menandakan perubahan yang lebih mendalam, mencabar bagaimana kita mengukur kejayaan itu sendiri.

“Mengejar pulangan pelaburan telah menjadi panduan strategi perniagaan. Namun, sempadan seterusnya memerlukan kanta yang lebih luas: pendekatan pulangan nilai. Ini bermakna menilai kemajuan bukan sahaja berdasarkan keuntungan kewangan tetapi juga berdasarkan kebaikan sosial, alam sekitar dan moral yang terhasil daripadanya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah pelan tindakan itu menyediakan kerangka asas untuk transformasi sedemikian dengan menawarkan perniagaan satu rangka kerja kebangsaan untuk mentakrifkan semula nilai, menghalakan modal ke arah pemulihan ekosistem, sistem makanan mampan, pengeluaran kitaran dan rantaian bekalan berdaya tahan.

“Ini bukanlah tindakan amal tetapi pelaburan strategik dalam kestabilan planet jangka panjang dan oleh itu, dalam kemakmuran yang berkekalan.

"Oleh itu, marilah kita menggandingkan sains dengan nilai-nilai, modal dengan hati nurani, dan kemajuan dengan belas kasihan. Biarlah rantau kita menjadi model daya tahan iklim dan pengawasan planet," titah baginda.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan