EKONOMI > BERITA

BNM KEKAL OPR PADA 2.75 PERATUS

06/11/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir untuk 2025. 

Bank pusat melalui satu kenyataan hari ini berkata pada tahap OPR sekarang, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari tersebut adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

"MPC akan terus memantau perkembangan yang berterusan dan menilai keseimbangan risiko di sekitar prospek pertumbuhan dan inflasi domestik," katanya.

Perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pemulihan dalam pengeluaran komoditi.

Pada masa akan datang, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan menjelang 2026. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

 Pengembangan aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

"Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan. Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global. Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada kelembapan perdagangan global, sentimen yang lebih lemah termasuk penurunan daripada jangkaan dalam pengeluaran komoditi.

"Sementara itu, potensi pertumbuhan boleh melonjak daripada peningkatan dalam prospek pertumbuhan global, permintaan terhadap barangan E&E serta aktiviti pelancongan," katanya.

BNM berkata petunjuk terbaharu menunjukkan perkembangan berterusan dalam pertumbuhan global.

"Walaupun kesan tarif yang lebih tinggi akan terus mempengaruhi pertumbuhan global, prospek pertumbuhan akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan, inflasi yang semakin menurun, dasar monetari yang kurang ketat dan dasar fiskal yang memberikan sokongan. Penyelesaian lebih banyak rundingan perdagangan telah sedikit sebanyak meredakan ketidakpastian global," katanya. 

Pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan disebabkan oleh kemungkinan tarif yang lebih tinggi, terutamanya tarif yang khusus bagi produk selain ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

Bank pusat turut menjelaskan terdapat kebimbangan mengenai penilaian dalam pasaran kewangan yang kekal tinggi.

Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, katanya.

Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2026 berikutan keadaan kos global yang terus reda

Dari tahun ke tarikh terkini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus serta 1.9 peratus.

"Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal. Sementara itu, inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

"Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dilaksanakan terhadap inflasi pada tahun 2026 dijangka terhad," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan