Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tetapi tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian berdasarkan prospek ekonomi negara yang berdaya tahan, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata kadar faedah sebenar kini berada pada 1.25 peratus (OPR 2.75 peratus tolak kadar inflasi 1.50 peratus), iaitu lebih tinggi daripada purata jangka panjang sebanyak 0.69 peratus, menunjukkan dasar monetari kekal ketat dari segi kadar sebenar.
“Ini bermakna kadar faedah masih tinggi dari segi kadar sebenar, menunjukkan BNM mempunyai ruang untuk menurunkannya. Bagaimanapun, keputusan tersebut bergantung pada perkembangan semasa prospek ekonomi.
“Setakat ini, prospek ekonomi Malaysia masih berdaya tahan. Oleh itu, tiada keperluan mendesak bagi BNM untuk menurunkan OPR dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah sejajar dengan jangkaan, mencerminkan keyakinan bank pusat terhadap permintaan domestik walaupun berdepan cabaran dalam persekitaran global.
Beliau berkata perdagangan global yang perlahan, sentimen yang lemah dan pengeluaran komoditi yang rendah terus menjadi kebimbangan utama manakala inflasi dijangka sederhana pada 2026 berikutan harga komoditi global yang stabil dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
“Secara keseluruhannya, pendirian dasar monetari semasa adalah sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Ini bermakna BNM berhasrat untuk mengekalkan OPR pada paras stabil dalam masa terdekat.
“Pada amnya, situasi ini boleh dianggap positif terhadap ringgit berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka mula menurunkan kadar faedah pada Disember dan berterusan hingga 2026,” katanya.
Pada Khamis, BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang terakhir pada 2025.
Menurut bank pusat itu, pada paras semasa OPR, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam kestabilan harga semasa.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Malaysia mempunyai ruang untuk mengekalkan kadar kerana tiada petunjuk kemerosotan mendadak seperti penyusutan eksport atau pasaran buruh yang lemah.
Katanya menurunkan kadar secara tergesa-gesa boleh meningkatkan risiko seperti tambahan hutang isi rumah dan ketidakseimbangan harga aset.
“Mengekalkan OPR pada paras semasa juga membantu menyediakan kestabilan perancangan untuk perniagaan dan pengguna. Ia menyokong simpanan dan pelaburan produktif, membolehkan penyesuaian dasar dilakukan secara bertahap jika keadaan berubah dan mengurangkan risiko ekonomi menjadi ‘terlebih panas’,” katanya.
Dari aspek pelabur asing, katanya keputusan ini memberikan isyarat yang konsisten dan pengurusan risiko yang berhati-hati, bertentangan dengan tindak balas segera terhadap penurunan kadar FOMC pada September dan Oktober lepas.
Mohd Sedek menjangka BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sehingga kadar Fed AS menurun kepada 3.00-3.25 peratus.
“Kami menjangka Fed akan terus menurunkan kadar faedah pada bulan depan. Oleh itu, tiga penurunan secara keseluruhan menjadikan Kadar Dana Fed kepada 3.75 peratus daripada 4.50 peratus.
“Pada 2026, kami menjangka Fed akan meneruskan tiga lagi penurunan, masing-masing sebanyak 25 mata asas,” katanya.
Mohd Sedek berpendapat jika Fed melaksanakan lebih daripada tiga penurunan kadar faedah pada tahun depan atau penurunan terkumpul melebihi 75 mata asas, ia mungkin memberi impak kepada trajektori ekonomi Malaysia dan mendorong BNM menilai semula pendirian dasar monetarinya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial