KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dan pihak pengawal selia bekerjasama erat bagi memacu keberkesanan, kecergasan serta kemudahan akses pasaran bagi pelabur, termasuk pelabur asing bagi mengurangkan risiko penjualan dan penarikan dana dari pasaran saham.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini berkata Bursa Malaysia sedang aktif memanfaatkan dan bekerjasama dengan pihak perantara untuk memudahkan akses dan maklumat kepada pelabur asing melalui program seperti Invest Malaysia (IM) dan IM Away.
Program itu direka khusus untuk meningkatkan profil dan keterlihatan Malaysia serta syarikat tersenarai awam kepada pelabur asing serta menggalakkan permintaan terhadap pelbagai peluang tersedia di pasaran melalui penglibatan pelabur secara berterusan.
"Selain usaha pemasaran dan promosi tradisional, Bursa Malaysia telah memberi tumpuan kepada bidang teras dan inisiatif untuk meningkatkan daya saing berbanding pesaing serantau.
"Ini termasuk pembangunan agenda kelestarian dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk pasaran modal; memperkenalkan Skim Insentif Penyelidikan Bursa (RISE+); dan Program IR4U," katanya.
Untuk rekod, IR4U merupakan program komprehensif bagi menyokong dan melonjakkan tahap piawaian serta keupayaan amalan perhubungan pelabur (IR) bagi menambah baik keterlihatan dan kebolehlaburan syarikat senaraian awam tempatan.
MoF menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai faktor utama dari segi global atau domestik yang menjadi pemangkin kepada penjualan serta penarikan dana asing dari pasaran bursa saham serta langkah pihak berkuasa tempatan untuk mengurangkan risiko itu.
Menjelaskan selanjutnya, MoF berkata usaha bersepadu itu memaparkan komitmen berterusan kerajaan (kementerian) dan pihak berkuasa pasaran (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia) serta industri dalam mengekalkan kestabilan, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Selain itu, kementerian berkata dasar monetari Amerika Syarikat yang menyokong pengurangan kadar dana persekutuan di negara maju itu sebanyak 25 mata asas pada pertengahan September 2025, turut menjadi pemangkin penting bagi penambahbaikan sentimen di pasaran membangun.
"Para pelabur melihat langkah ini sebagai isyarat bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin akan mengambil (melaksanakan) dasar mengekalkan kadar faedah rendah dan seterusnya meningkatkan minat terhadap ekuiti di pasaran seperti Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial