EKONOMI > BERITA

EXIM BANK TUKAR MOU STRATEGIK DENGAN PTRB, SINOSURE DI MIHAS SHANGHAI 2025

07/11/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank) telah bertukar dua memorandum persefahaman (MoU) dengan PT Resources Holdings Bhd (PTRB) dan China Export & Credit Insurance Corporation (SINOSURE) semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025. 

Bank itu melalui satu kenyataan hari ini berkata PTRB, sebuah syarikat tersenarai di Malaysia yang memiliki kepakaran dalam perdagangan, pemprosesan makanan laut beku dan produk makanan lain, sedang bekerjasama dengan EXIM Bank untuk menyokong pengembangan strategiknya ke pasaran China serta pasaran baru muncul.

"Perkongsian ini bertujuan untuk mempercepat pembangunan ekosistem pengeluaran makanan PTRB, meningkatkan nilai produk dan merangsang pertumbuhan yang mampan di seluruh segmen perniagaannya.

"Sementara itu, MoU dengan SINOSURE bertujuan mewujudkan rangka kerja strategik bagi kerjasama dalam bidang utama seperti insurans semula, insurans bersama, inisiatif pemasaran bersama, perkongsian pengetahuan dan bantuan dalam pemulihan," katanya.

EXIM Bank menjelaskan kerjasama dengan SINOSURE mencerminkan komitmen antara kedua-dua institusi itu untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan yang lebih besar selain bertujuan mengukuhkan ekosistem kewangan yang menyokong pengeksport dan pelabur di kedua-dua negara. 

Perkongsian ini juga menyediakan mitigasi risiko yang mantap yang membolehkan pertumbuhan yang mampan dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nurbayu Kasim Chang berkata ini menandakan langkah penting dalam misi bank bagi memperkasakan perniagaan Malaysia untuk bersaing secara global.

"Dengan bekerjasama dengan PTRB dan SINOSURE, kami mewujudkan ekosistem kewangan dan perdagangan yang lebih mantap yang akan menyokong pertumbuhan serta pengurangan risiko yang mampan untuk pengeksport,' katanya.

Pertukaran MoU dibuat semasa MIHAS Shanghai 2025, yang diadakan bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE).

Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang merasmikan MIHAS Shanghai 2025 sebagai sebahagian daripada lawatannya ke China untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-China dan mempromosikan industri halal Malaysia di seluruh dunia.

Penglibatan EXIM Bank telah memperkukuhkan peranannya dalam mempromosikan industri halal negara selain memperluaskan akses pasaran untuk pengeksport Malaysia. 

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, EXIM Bank telah mengetuai delegasi 13 pengeksport Malaysia, yang mewakili sektor-sektor seperti makanan dan minuman halal, makanan laut yang diproses termasuk lain-lain produk makanan yang inovatif.

"Secara kolektif, pengeksport-pengeksport ini menjana anggaran RM800 juta dalam pendapatan tahunan, dan bank itu berhasrat untuk menyokong lebih lanjut pertumbuhan eksport dan pengembangan pasaran mereka melalui platform antarabangsa ini," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan