EKONOMI > BERITA

KEJAYAAN FINLAND DALAM PENYELESAIAN IKLIM BERI PENDEDAHAN BERMAKNA KEPADA MALAYSIA

09/11/2025 10:37 AM

Daripada Zufazlin Baharuddin

HELSINKI, 9 Nov (Bernama) -- Kepimpinan dan kejayaan Finland dalam penyelesaian iklim melalui ekonomi kitaran disifatkan sebagai luar biasa dan boleh dicontohi oleh Malaysia, yang turut melaksanakan matlamat sama dalam menggalakkan kemampanan.

Mengambil inspirasi daripada negara Nordik di Eropah Utara itu, didapati dasar yang selaras, inovasi dan penyertaan masyarakat bukan sahaja memacu penyelesaian iklim yang berkesan malah turut mewujudkan nilai ekonomi tambahan.

Sepanjang lapan tahun lepas, Finland telah mengguna pakai pendekatan pelbagai hala dalam melaksanakan strategi ekonomi kitaran untuk mengitar semula dan mengurangkan pembaziran daripada bahan dan produk sedia ada.

Penyelesaian iklim Finland turut meliputi pelaburan yang besar dalam sumber tenaga mampan seperti tenaga angin dan solar.

Melalui pelaksanaan sedemikian, negara itu telah menetapkan piawaian hijau yang tinggi, menjadi peneraju global dalam langkah mengurangkan perubahan iklim.

Dari segi definisi, ekonomi kitaran ialah model untuk pengeluaran dan penggunaan mampan yang bertujuan mengurangkan pembaziran dengan memastikan produk dan bahan digunakan untuk tempoh yang panjang.

Finland ialah negara pertama yang membangunkan pelan hala tuju ekonomi kitaran dan antara negara yang mempunyai matlamat tinggi untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2035.

Malaysia boleh meraih banyak manfaat daripada Finland, yang telah meletakkan asas penting melalui Pelan Induk Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (2025–2035) dan beberapa inisiatif lain.

Program media selama hampir seminggu mengenai “Climate Solutions from Finland” untuk wartawan, yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Negeri Finland, telah memberi pengalaman bermakna.

Tertumpu di ibu kota Helsinki, pada akhir musim luruh, program itu menjadi pendedahan ekonomi yang bernilai kepada Malaysia daripada usaha peralihan hijau negara Eropah itu.

Apa yang paling ketara ialah iltizam politik pada peringkat tertinggi merupakan faktor utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan ekonomi kitaran dan agenda kemampanan selain terus memacu pertumbuhan ekonomi.

Malaysia telah mengambil langkah yang tepat dengan melaksanakan Kerangka Polisi Ekonomi Kitaran untuk Sektor Pembuatan dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggalakkan kecekapan penggunaan sumber, industri rendah karbon dan pertumbuhan tenaga yang lebih bersih.

Ini sejajar dengan matlamat iklim dan kemampanan globalnya termasuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding paras pada 2005.

 

Peralihan hijau Finland menawarkan strategi yang dapat dipelajari dari aspek ekonomi kepada Malaysia

 

Ia turut menunjukkan langkah negara dalam menterjemahkan matlamat iklimnya kepada tindakan melalui pelaksanaan dasar yang berkesan, inisiatif yang berpandangan ke hadapan dan sistem pendidikan yang baik.

Kesemua faktor ini bergabung untuk menerapkan kesedaran mengenai ekonomi kitaran dari peringkat awal, yang akhirnya membentuk keseluruhan ekosistem sosial dan alam sekitar. Tidak dinafikan, ia merupakan inisiatif melibatkan seluruh negara.

Ini jelas dapat dilihat daripada peralihan rendah karbon Finland dan rangka kerja ekonomi kitaran yang menyeluruh, menunjukkan dasar kerajaan yang selaras bersama penyertaan proaktif masyarakat dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ia turut meningkatkan kecekapan sumber dan menggalakkan inovasi rendah karbon.

Pengarah bagi Iklim dan Kimia Kementerian Alam Sekitar Outi Honkatukia berkata menyelaraskan matlamat iklim dengan perancangan ekonomi memerlukan komitmen yang kukuh pada peringkat politik yang tertinggi untuk memastikan penyelarasan yang berkesan dalam kerajaan.

“Menyelaraskan matlamat iklim dengan perancangan ekonomi bukan mudah. ​​Elemen pentingnya ialah melaksanakan pendekatan kerajaan yang menyeluruh dan memastikan struktur penyelarasan merentas kementerian yang kukuh. Penjajaran dasar pada peringkat sektor juga penting,” katanya kepada Bernama.

Finland turut berkongsi pengalamannya secara dua hala melalui kedutaannya di negara-negara membangun serta melalui pelbagai proses antarabangsa dan pelbagai hala termasuk Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

“Kami juga telah menyumbang kepada inisiatif Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) seperti Forum Global Kumpulan Pakar Perubahan Iklim,” katanya.

Sementara itu, Sitra—Dana Inovasi Finland di bawah pemantauan Parlimen Finland—akan memacu kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi.

Ia turut membantu merangka inisiatif yang menangani cabaran kritikal dalam masyarakat dan alam sekitar.

Dana itu mempunyai belanjawan tahunan kira-kira 30 juta euro untuk menyokong inisiatif yang memberi manfaat kepada Finland.

Ini termasuk cabaran utama dalam masyarakat seperti peralihan ke arah kemampanan, pertumbuhan ekonomi, data dan kecerdasan buatan.

“Misi kami ialah memacu kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi dalam had kapasiti sokongan alam semula jadi.

“Kami mencari penyelesaian baharu dan menyokong inovasi masyarakat dengan rakan kongsi kami,” kata Ketua Kanan Komunikasi Media dan Hal Ehwal Awam Sitra Samuli Laita.

 

 Pelaksanaan Amalan Ekonomi Kitaran 

 

Satu siri lawatan media ke institusi dan syarikat utama Finland telah memberikan pemahaman yang praktikal mengenai langkah penyelesaian iklim dan ekonomi kitaran dilaksanakan.

Semasa kunjungan ke syarikat tenaga Vantaan Energia, kumpulan media menyaksikan proses pertukaran sisa kepada tenaga digabungkan dengan teknologi pemerangkapan karbon untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan sumber.

Kemudian, lawatan ke Solar Foods pula memperlihatkan inovasi dalam pengeluaran protein lestari yang dinamakan ‘Solein’.

Lawatan seterusnya adalah ke Shopping Centre Ain untuk melihat proses strategi kitar semula yang memberikan pengalaman berharga kepada mereka mengenai amalan kitar semula tahap pengguna yang efektif.

Sistem strategi kitar semula bungkusan minuman merupakan skim deposit-pemulangan menggunakan deposit kecil yang boleh dikembalikan untuk memberi insentif kepada pengguna agar memulangkan bekas kosong untuk dikitar semula.

Kumpulan media juga melawat Sekolah Rendah Viikki dan melihat kaedah prinsip ekonomi kitaran disepadukan dalam pendidikan awal.

Di Universiti Aalto, kumpulan media berkesempatan melihat cara pelajar peringkat tinggi menggunakan konsep ekonomi kitaran secara kreatif dalam projek dan tugasan mereka.

Secara keseluruhannya, lawatan ini menunjukkan bagaimana dasar, teknologi dan pendidikan dapat diterapkan bersama untuk mewujudkan impak sebenar kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Pengajaran Berharga bagi Malaysia  

 

Pengalaman Finland dalam bidang ini sememangnya boleh memberikan pengajaran berharga kepada Malaysia, yang kini sedang membangunkan ekonomi kitarannya.

Sepanjang program ini, dapat dilihat bahawa dasar yang diselaraskan, inovasi dan penglibatan masyarakat dapat memacu penyelesaian iklim yang berkesan, selain memperkukuh pertumbuhan ekonomi dalam rangka kerja ekonomi kitaran.

Seperti di Finland, matlamat kelestarian Malaysia dapat dicapai melalui pendekatan secara bersama, dengan semua lapisan masyarakat dan kerajaan berganding bahu menggerakkannya.

Kesedaran awam dan sistem pendidikan - terutamanya mengenai prinsip “Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula” perlu diperkukuh untuk mencapai matlamat ini, dengan menerapkan nilai-nilai ekonomi kitaran sejak usia muda melalui pelaksanaan yang praktikal dan berterusan.

Penyertaan daripada pelbagai industri dan pihak berkepentingan juga memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi di samping menyokong usaha Malaysia untuk mencapai sasaran ekonomi rendah karbon dan ekonomi kitaran menjelang 2050.

Chargé d’Affaires ad interim Kedutaan Malaysia di Helsinki, Al-Fadil Adam berkata dengan menerima pakai pendekatan Finland dalam perancangan dasar strategik, model perniagaan kitaran dan rantaian nilai bersepadu, Malaysia dapat mempercepat peralihan hijaunya yang diselaraskan dengan piawaian perdagangan dan kemampanan antarabangsa.

“Finland merupakan peneraju global dalam amalan ekonomi kitaran, didorong oleh strategi yang kukuh, inovasi awam-swasta dan kepakaran sektoral dalam bioekonomi, perhutanan lestari dan pengurusan sisa.

“Malaysia boleh mendapat faedah yang besar dengan memanfaatkan kepakaran ini, terutamanya ketika negara dalam usaha memodenkan sektor utama seperti minyak sawit, perhutanan dan pembuatan,” katanya.

Menerusi pengalaman yang diraih daripada Finland, Malaysia dapat memperkukuh lagi ekonomi kitaran dan strategi iklimnya bagi memastikan pembangunan mampan dan manfaat jangka panjang masyarakat.

Menurut Pusat Sumber Ekonomi Kitaran Kesatuan Eropah (EU CERC), sebagai perintis, Malaysia boleh menerajui peralihan kepada ekonomi kitaran di Asia Tenggara.

Malaysia telah mengorak langkah pertama ke arah kemampanan selain mengembangkan ekonomi, yang akan membuka jalan kepada penyelesaian iklim yang berjaya seperti di Finland untuk manfaat generasi akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan