EKONOMI > BERITA

PERTUMBUHAN KDNK 2025 BERPOTENSI CAPAI PARAS LEBIH TINGGI - PM ANWAR

11/11/2025 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 berpotensi mencapai paras yang lebih tinggi, disokong prestasi ekonomi yang baik tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ekonomi negara terus kukuh dan berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025.

“(KDNK) suku ketiga 2025 (yang dijangka pada) 5.2 peratus dan pertumbuhan keseluruhan tahun ini juga berpotensi mencapai paras yang lebih tinggi berbanding (kadar) yang diunjurkan,” kata beliau ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Aminolhuda bin Hassan (PH-Sri Gading) mengenai keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI selepas tempoh 18 hingga 24 bulan serta usaha pengukuhan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan dasar tersebut benar-benar mencapai matlamatnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu, trend perdagangan terus positif dengan jumlah dagangan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini meningkat 4.4 peratus kepada kira-kira RM2.24 trilion.

“Ini (dicapai) dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu terutama akibat pengenaan tarif oleh (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump, sebaliknya masih meningkat kepada kira-kira RM2.24 trillion,” kata beliau.

Beliau berkata daya saing negara juga terus meningkat berdasarkan Indeks Daya Saing Dunia 2025 apabila Malaysia melonjak 11 anak tangga dan menjadi pencapaian terbaik sejak 2020.

Malaysia berada pada kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan