KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan bahawa tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) tidak memberi kesan kepada kos input ladang sawit di Malaysia.
Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata hal ini kerana sebahagian besar input yang digunakan dalam aktiviti penanaman sawit diperoleh dari dalam negara.
“Tarif ini tidak ada kena-mengena dengan ladang kelapa sawit kita kerana kebanyakan input diperoleh secara domestik.
“Hanya sebahagian bahan kimia dan baja, termasuk baja nitrogen, phosphorus dan potassium (NPK) yang diimport, tetapi ini tidak melalui Amerika Syarikat,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkenaan kesan peningkatan kos input pertanian akibat perjanjian Malaysia dan AS melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), Artikel 2.3.
Sementara itu, Johari berkata kementeriannya juga sedang merumuskan satu skim baharu bagi meningkatkan nilai kos pembiayaan (geran dan pinjaman) tanam semula sawit yang dibiaya kerajaan sebelum ini untuk dilaksanakan pada tahun depan.
“Pekebun kecil selalunya susah nak dapat pinjaman. Jadi saya cuba berjumpa dengan pihak bank untuk melihat kalau duit tidak datang daripada kerajaan, boleh tidak bank membantu pekebun-pekebun kecil ini dengan mencagar ladang-ladang mereka, kemudian bank akan bagi pinjaman dan saya akan cuba minta kepada kerajaan subsidi faedah.
“Kalau interest (faedah) itu tinggi, kerajaan cuba subsidi empat peratus,” katanya.
Johari berkata KPK masih dalam proses berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai pemberian subsidi faedah itu.
“Kalau dapat nanti kita akan lancarkan skim yang baharu selain daripada yang kita buat hibrid,” katanya.
Sebelum ini kerajaan telahpun menyediakan peruntukan di bawah Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang merupakan bantuan secara hibrid iaitu 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman.
Sebanyak RM100 juta disediakan kepada KPK bagi tahun 2024 dan RM50 juta bagi tahun 2025.
Johari berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai langkah kerajaan untuk membantu pekebun kecil menanam semula sawit dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Johari berkata negara dijangka kehilangan hasil eksport hampir RM7 bilion sekiranya tidak melaksanakan penanaman semula sawit di ladang telah berusia lebih 25 tahun.
“Kadar penanaman semula sawit Malaysia pada tahun 2024 adalah sekitar 2.0 peratus, ia masih rendah berbanding kadar penanaman semula sawit yang disasarkan pada kadar ideal sebanyak empat peratus hingga lima peratus setahun,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial