EKONOMI > BERITA

KERAJAAN LAKSANA MORATORIUM EKSPORT MENTAH REE SOKONG PEMBANGUNAN INDUSTRI

13/11/2025 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah moratorium pengeksportan mentah unsur nadir bumi (REE) pada fasa jangka pendek bermula 2025 hingga 2027, sebagai sokongan kepada pembangunan industri di peringkat pertengahan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan pada masa sama, rundingan dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara giat dijalankan untuk memastikan loji pemprosesan tempatan bagi penulenan dan pemisahan elemen REE, kilang pembuatan logam atau aloi REE, serta kilang pembuatan super magnet diwujudkan di Malaysia.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalakkan untuk terlibat dalam usaha ini bagi memastikan berlaku pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai strategi kementerian dalam membangunkan rantaian penuh industri nadir bumi daripada huluan hingga hiliran supaya dapat memberi pulangan maksimum kepada negara.

Selain itu, kerajaan turut menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dalam merealisasikan matlamat pewujudan industri pemprosesan dalam negara, tambahnya.

“Beberapa syarikat tempatan pada ketika ini sedang menjalankan usaha tersebut dengan kerjasama kepakaran dalam dan luar negara namun, perkara itu masih bergantung kepada penilaian daya maju dan mengambil kira faktor seperti sumber bahan mentah, kapasiti kewangan dan permintaan pasaran,” jelas kementerian itu.

Kementerian itu menambah, bagi fasa jangka sederhana dari 2027 hingga 2030, larangan pengeksportan mentah REE akan diteruskan mengambil kira jangkaan loji pemprosesan telah wujud di dalam negara untuk memproses sumber REE tempatan.

Industri REE di peringkat pertengahan pada fasa itu boleh menerima input sumber dari luar negara dan hasil pengeluarannya pula boleh dieksport sekiranya permintaan tempatan telah dipenuhi, tambahnya.

“Pada fasa itu, rundingan untuk menarik pelabur bagi membangunkan industri pembuatan motor elektrik dan kitar/guna semula REE dibuat bagi memastikan industri REE negara mempunyai rantaian nilai yang lengkap.

“Seterusnya, pada fasa jangka panjang (selepas 2030), Malaysia disasarkan untuk memiliki rantaian industri yang lengkap bermula dari aktiviti perlombongan hingga industri kitar/guna semula dan menjadi hab industri REE serantau dan global,” jelasnya.

Menurut kementerian itu, kerajaan menetapkan matlamat untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri REE merangkumi aktiviti perlombongan, pemprosesan, penghasilan produk bernilai tambah, sehinggalah kepada penggunaan semula bahan REE.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan telah merangka strategi pembangunan industri REE secara berfasa meliputi tempoh tersebut.

“Bagi memastikan pelaksanaan strategi ini berjalan lancar, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pembangunan Industri REE melibatkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam selaku Pengerusi dan keahlian terdiri daripada Menteri Ekonomi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Kewangan II dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Penubuhan pasukan ini merupakan satu langkah strategik bagi memastikan tindakan dan inisiatif dalam membangunkan industri ini dibuat dengan lebih bersinergi,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai kemajuan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan REE yang dilihat agak perlahan berbanding dengan industri perlombongan lain, kementerian itu menjelaskan SOP Perlombongan REE telah disediakan berpandukan kepada SOP Negeri Perak dan telah diluluskan oleh Majlis Mineral Negara (MMN) pada 8 Mei, 2023.

SOP itu kemudiannya diedarkan kepada semua kerajaan negeri pada 20 Dis, 2023 untuk disesuaikan kepada keperluan perundangan negeri masing-masing dan SOP itu adalah dokumen panduan menyeluruh yang merangkumi aspek teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan, tambahnya.

“Walaupun semua jenis perlombongan tertakluk kepada keperluan undang-undang dan penilaian kesan alam sekitar, pelaksanaan SOP REE dilihat lebih perlahan kerana setiap negeri perlu menyesuaikan dokumen ini dengan perundangan berkaitan pembangunan mineral di negeri masing-masing khususnya Enakmen Mineral Negeri.

“Sehingga kini, hanya Perak yang telah melaksanakan projek perlombongan REE setelah memperoleh semua kelulusan di peringkat Persekutuan dan negeri berdasarkan SOP yang telah dibangunkan,” jelas kementerian itu.

Menurutnya, selain itu, sifat industri REE sendiri menuntut pendekatan lebih berhati-hati berbanding mineral lain, dengan teknik perlombongan “in-situ leaching” (ISL) yang digunakan masih baharu dan tidak pernah digunakan untuk perlombongan mineral lain di Malaysia.

Oleh yang demikian, perkara itu memerlukan penelitian yang lebih rapi, jelasnya.

Kementerian menjelaskan pada masa sama, sebahagian besar data anggaran sumber REE yang dimiliki pada masa ini masih berada pada peringkat sumber teragak, manakala banyak kawasan berpotensi terletak berhampiran Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Meskipun terdapat tekanan supaya industri ini dibangunkan segera, kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan pembangunan industri REE khususnya di peringkat perlombongan dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan berlaku insiden yang tidak diingini, terutama pencemaran alam sekitar yang sukar dipulihkan serta memerlukan perbelanjaan yang besar,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan