EKONOMI > BERITA

SADAQA HOUSE BANK ISLAM SEDIA BIASISWA PENDIDIKAN ANAK YATIM, ASNAF DAN B40

13/11/2025 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menerusi pemacu kewangan sosial yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Sadaqa House, terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan insan yang berilmu, khasnya dalam kalangan anak yatim, asnaf dan B40, menerusi Penyerahan Biasiswa dan Geran Pendidikan Sadaqa House.

Menerusi inisiatif itu, Bank Islam berhasrat untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meneruskan pengajian mereka di peringkat tinggi tanpa dibatasi kekangan kewangan.

Program itu juga menzahirkan komitmen Bank Islam dalam memacu kesejahteraan masyarakat melalui akses pendidikan yang inklusif dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed telah menyampaikan cek cura Biasiswa dan Geran Pendidikan Sadaqa House bernilai lebih RM5.62 juta kepada wakil-wakil pembuat perubahan (changemaker) Sadaqa House yang memfokuskan pendidikan pada majlis yang berlangsung hari ini.

Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Mohd Nazri Chik dalam kenyataan berkata Dana Sadaqa House yang dikumpul menerusi sumbangan orang ramai dan institusi atau organisasi, dimanfaatkan untuk membiayai kos sara hidup dan yuran pengajian pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Selain meningkatkan taraf sosioekonomi mereka, hasrat kami adalah untuk membentuk insan berilmu dan berakhlak mulia yang mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya.

Antara rakan strategik yang menjayakan usaha tersebut Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC), Youth Empowerment Foundation (YEF), Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) dan Brain for Future (BFF).

Bank Islam dalam kenyataan sama memaklumkan sebahagian dana yang diterima juga disimpan untuk pelaburan bagi memastikan pendapatan pelaburan akan memberikan jaminan biasiswa dan geran pendidikan bagi penerima-penerima masa depan.

“Dengan sasaran kira-kira lebih 1,000 pelajar menerima sokongan pendidikan ini dalam tempoh tujuh tahun, Bank Islam amat menghargai sumbangan dan kepercayaan penyumbang kepada Sadaqa House. Kami akan berusaha untuk terus mengadakan inisitiaf-inisiatif yang menyejahterakan penerima manfaat,” menurut kenyataan itu.

Sejak penubuhan Sadaqa House pada 2018, hampir RM13 juta disalurkan bagi menjayakan pelbagai inisiatif berteraskan pendidikan, dengan lebih 1,000 individu telah menerima manfaat secara langsung setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan