EKONOMI > BERITA

AWC PEROLEH LANJUTAN KONSESI PENYELENGGARAAN ZON SELATAN DAN SARAWAK SELAMA SETAHUN BERNILAI RM63.7 JUTA

13/11/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) --  Anak syarikat milik penuh AWC Bhd, kumpulan perkhidmatan kejuruteraan disenaraikan di Pasaran Utama, Ambang Wira Sdn Bhd (AWSB) telah menerima surat daripada Kementerian Kerja Raya mengenai lanjutan konsesi 10 tahun diperoleh ketika ini yang akan tamat tempoh pada 31 Disember, 2025.

Kumpulan itu berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa lanjutan itu adalah untuk satu tahun lagi bermula dari 1 Januari, 2026 hingga 31 Disember, 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden Kumpulan AWC Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata selepas menguruskan konsesi itu sejak 1998, kumpulan itu tetap yakin dengan keupayaannya dan akan terus menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk menyokong keperluan pengurusan kemudahan kerajaan.

“Pada masa sama, kami sedang giat menyediakan dan bekerjasama rapat dalam tender untuk konsesi baharu,” katanya.

AWC berkata Kementerian Kerja Raya juga telah melampirkan salinan perjanjian interim yang akhir (muktamad) berkenaan dengan perjanjian penswastaan ​​sedia ada untuk perkhidmatan sokongan bangunan bagi bangunan kerajaan di Zon Selatan dan Zon Sarawak untuk pelaksanaan oleh AWSB dan kerajaan.

“Perjanjian interim akan berkuat kuasa setelah pelaksanaan oleh kedua-dua pihak,” kata AWC.

Kumpulan itu berkata walaupun perjanjian interim tidak menetapkan jumlah kontrak tertentu, anggaran nilai kerja di bawah lanjutan satu tahun ialah RM63.7 juta, berdasarkan kadar semasa dan skop perkhidmatan di bawah konsesi sedia ada.

AWC berkata perjanjian konsesi melibatkan pengurusan, penyelenggaraan dan pemeliharaan bangunan kerajaan persekutuan di seluruh Zon Selatan yang meliputi Melaka, Negeri Sembilan dan Johor serta Zon Sarawak.

Kumpulan itu berkata perkhidmatan ini secara sejarahnya merangkumi Program Pengubahsuaian Aset Kritikal (CARP) di bawah rangka kerja konsesi sedia ada.

AWC telah bertanggungjawab ke atas pengurusan, penyelenggaraan dan pemeliharaan bangunan kerajaan persekutuan di seluruh Zon Selatan dan Zon Sarawak sejak Jun 1998 di bawah struktur konsesi.

Konsesi tersebut kemudiannya diperbaharui selama 10 tahun, bermula pada 2016 dan dijadualkan tamat pada Disember 2025. CARP berjalan serentak dengan konsesi tersebut.

Ahmad Kabeer berkata lanjutan itu memberikan kejelasan pendapatan AWC dan meningkatkan asas pendapatan berulangnya selain menjadikan jumlah kontrak yang diumumkan pada tahun kewangan berakhir pada 30 Jun, 2026 kepada kira-kira RM257 juta.

“Sementara itu, semua bahagian utama kami terus mengekalkan tender akan datang yang sihat memandangkan pasukan kami secara aktif mencari peluang baharu. Secara keseluruhan, kumpulan ini mengekalkan pandangan positif dan kekal berhemat dan prihatin terhadap perkembangan dalam persekitaran makroekonomi yang lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan