EKONOMI > BERITA

ANAK SYARIKAT AWC DAPAT KONTRAK RM52.3 JUTA DI PUTRAJAYA

09/12/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh AWC Bhd, Ambang Wira Facilities Sdn Bhd telah memperoleh kontrak pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan Kompleks Masjid Putra, Putrajaya yang bernilai RM52.3 juta daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Kumpulan perkhidmatan kejuruteraan yang disenaraikan di Pasaran Utama itu melalui satu kenyataan berkata kontrak tersebut, yang disampaikan melalui surat anugerah, dijangka bermula pada 1 Februari 2026 dan bertempoh sehingga 30 April 2031. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata momentum perolehan yang berterusan telah disambung dengan anugerah terbaharu ini, menjadikan jumlah keseluruhan kemenangan kontrak syarikat itu untuk tahun kewangan 2026 kepada RM382 juta.

“Ianya terus mengukuhkan jejak kami dalam ruang pengurusan kemudahan di Malaysia, disokong oleh rekod prestasi dan kepakaran yang mantap. Yang penting, ia juga meningkatkan asas pendapatan berulang kami untuk sepanjang tempoh 5.25 tahun kontrak berkenaan.

“Kami menjangkakan kontrak ini akan mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan dalam tahun kewangan 2026. Melihat ke hadapan, tempahan dalam tangan kami kekal menggalakkan susulan usaha pasukan kami untuk mendapatkan peluang di semua bahagian utama khususnya dalam kemudahan, persekitaran, kejuruteraan dan rel,” katanya.

Secara keseluruhan, Ahmad Kabeer berkata prospek kumpulan tetap kukuh disebabkan kemampuan syarikat dalam mengekalkan momentum yang amat positif.

Setakat 30 Sept 2025, tempahan dalam tangan AWC telah mencecah paras RM528 juta, tidak termasuk enam kontrak yang diperolehi selepas penghujung September 2025, yang berjumlah RM370 juta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan