EKONOMI > BERITA

KERJASAMA SARAWAK-UBC BUKA LEMBARAN BAHARU PERLOMBONGAN HIJAU

16/11/2025 04:21 PM

KUCHING, 16 Nov (Bernama) -- Sektor kuari dan perlombongan hijau Sarawak melakar satu pencapaian baharu susulan kerjasama antara Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Negeri dengan University of British Columbia (UBC), Kanada.

Dalam kenyataan hari ini, Centexs menjelaskan satu Pernyataan Kerjasama telah dimeterai baru-baru ini oleh ketiga-tiga pihak di kampus UBC di Vancouver untuk memuktamadkan usaha sama bagi membina kapasiti dan menyokong pembangunan industri mineral mampan di Sarawak.

“Institusi ini akan bekerjasama dalam beberapa bidang penting termasuk pensijilan profesional untuk program latihan perlombongan dan kuari pascaijazah, serta program peringkat sarjana muda dan pascasiswazah dalam perlombongan dan geologi.

“Ada juga penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dalam sumber mineral, pembangunan mineral mampan dan pembinaan kapasiti tenaga kerja,” jelasnya.

Kerjasama itu juga merangkumi khidmat rundingan dalam teknologi satelit dan pesawat tanpa pemandu, penderiaan jauh, kecerdasan buatan hijau, robotik, automasi pintar dan pembangunan dasar bagi perlombongan serta kuari hijau.

Pihak-pihak terlibat turut membincangkan penjajaran keupayaan penyelidikan, program latihan dan keperluan industri.

Menurut Centexs kerjasama tersebut mengukuhkan komitmen negeri untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan mewujudkan kerangka institusi yang kukuh bagi perlombongan mampan.

Kerjasama itu tercetus susulan penglibatan awal yang diterajui oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Negeri, semasa lawatannya ke Bradshaw Research Institute for Minerals and Mining UBC pada Jun tahun lepas, tambah pusat itu.

Centexs memaklumkan lawatan terdahulu itu telah meletakkan asas untuk mempercepat peralihan Sarawak ke arah pembangunan sumber mineral yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan