GEORGE TOWN, 16 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) bersama agensi penguat kuasa akan terus memperkukuh sistem keselamatan digital dan mempercepat tindakan menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi memastikan penipuan kewangan dapat dibanteras.
Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata usaha itu penting untuk memastikan rakyat terus yakin untuk membuat transaksi kewangan dengan selamat.
“Keperluan melengkapkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan amat penting kerana di Pulau Pinang sendiri, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, rakyat sudah kehilangan lebih RM90 juta akibat penipuan kewangan.
“Modus operandi penipuan ini sentiasa berubah, semakin licik, semakin sukar dikesan.
“Hari ini mungkin panggilan palsu, esok pula laman web tiruan atau aplikasi yang kelihatan sah.
“Justeru, rakyat perlu sentiasa peka dan berwaspada,” katanya pada majlis penutupan Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang di Bayan Lepas, dekat sini hari ini.
Beliau berkata usaha memperkukuh keselamatan digital juga menjadi antara fokus Bulan Literasi Kewangan 2025 (FLM2025).
Katanya, Skuad Celik Kewangan telah menjelajah ke lebih 100 lokasi dan menyantuni lebih 23,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan belia, usahawan mikro, komuniti luar bandar dan pedalaman.
Menerusi sesi interaksi itu, beliau berkata tiga keperluan utama rakyat dikenal pasti iaitu kesedaran mengenai simpanan dan pengurusan hutang, kekeliruan berhubung pelaburan serta penipuan digital, dan keperluan bimbingan kewangan yang mudah difahami.
Adnan Zaylani turut menekankan kepentingan penyampaian ilmu kewangan dalam bahasa yang mudah, selain kembali kepada nilai asas kewangan Islam seperti amanah, adil dan maslahah sebagai panduan membuat keputusan kewangan yang baik dan beretika.
Beliau berkata pihaknya akan meneruskan FLM pada tahun depan di bawah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 dengan satu matlamat besar untuk menjadikan celik kewangan sebagai budaya hidup.
KCK Pulau Pinang yang berlangsung sejak Jumaat lepas itu membawa pendidikan kewangan terus kepada komuniti melalui pameran interaktif, kaunter perkhidmatan, bicara pendidikan, bengkel dan aktiviti mesra keluarga dengan 20,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari.
KCK Pulau Pinang menandakan kemuncak FLM2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial