SUKAN > BERITA

SRG.OG CIPTA SEJARAH, JUARA MPL MY EMPAT MUSIM BERTURUT-TURUT

16/11/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Selangor Red Giants (SRG.OG) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama memenangi Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL MY) buat kali keempat berturut-turut sejak musim ke-13 hari ini.

Pada aksi Grand Final musim ke-16 yang berlangsung di MAEPS Serdang, SRG.OG dibarisi Mark Rusiana (Kram), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums) dan John Vincent Banal (Innocent) nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat kemenangan bersih 4-0 ke atas CG Esports.

Sekys yang bertindak sebagai jungler pasukan SRG.OG dinobatkan sebagai pemain paling bernilai pada aksi Grand Final berkenaan.

Jurulatih SRG.OG Michael Angelo Bocado (Arcadia) nyata gembira dengan pencapaian cemerlang yang diraih anak buahnya pada saingan MPL MY.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian ini tetapi saya benar-benar mahu memenangi M-Series (Kejohanan Dunia) kerana ia adalah satu-satunya gelaran yang hilang daripada resume saya. Saya menyertai dua M-Series, malangnya hanya mendapat tempat ketiga dalam kedua-duanya,” katanya.

Selaku juara SRG.OG membawa pulang wang tunai USD31,900 (kira-kira RM131,00), manakala CG Esports meraih USD18,700 (kira-kira RM77,00).

Kedua-dua pasukan itu turut mendapat tiket automatik mewakili Malaysia pada Kejohanan Dunia MLBB M7 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Januari tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan