Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Penyediaan sistem tenaga yang selamat dan sedia masa depan bukan sahaja mengenai infrastruktur fizikal semata-mata tetapi ia turut melibatkan kecerdasan, sambungan dan modal insan yang menjananya, kata Ketua Pegawai Maklumat Tenaga Nasional Bhd, Azlan Ahmad.
"Kemajuan bermula dengan pelaburan strategik yang betul dalam teknologi," katanya melalui satu kenyataan hari ini. Pelaburan tersebut mampu mengubah grid berkenaan menjadi platform yang fleksibel, dinamik dan berdaya tahan, dengan berkesan boleh mengembangkan struktur fizikal ke dalam ekosistem digital yang canggih yang akan beroperasi secara bijak serta selamat.
"Kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah operasi utiliti," katanya, ketika berkongsi pandangannya tentang bagaimana mahu menjamin sistem tenaga hari ini sambil bersiap sedia untuk memasuki masa depan pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2025.
Dengan asas digital yang kuat, AI akan meningkatkan kecekapan, seterusnya, membolehkan keterlihatan masa nyata dan simulasi lanjutan selain menyampaikan ciri swasembuh pada grid.
"Ia juga menguatkan keselamatan melalui pengesanan ancaman dan pengenalan anomali awal, menjaga kestabilan tenaga serta selamat bagi semua orang," katanya.
Azlan menekankan bahawa kemajuan yang bermakna memerlukan kerjasama, perkongsian dan kepakaran yang pelbagai. Dengan kerjasama universiti serta memupuk bakat baharu, TNB mampu membentuk masa depan tenaga digital yang selamat, mampan dan inklusif.
Asas transformasi digital TNB adalah peralihan tenaga siap AI. Ekosistem siap AI terdiri daripada gabungan kecerdasan, adaptif dan imperatif rendah karbon.
AI memerlukan tenaga lestari untuk berkembang secara bertanggungjawab, sementara sistem tenaga memerlukan AI untuk beroperasi dengan cekap.
TNB secara aktif sedang merapatkan kedua-dua dunia ini iaitu membina grid siap AI Malaysia dan pada masa yang sama membenam AI ke dalam operasinya untuk ketersambungan ASEAN, katanya semasa memberi taklimat kepada profesional industri tenaga pada acara tersebut yang membabitkan 24,000 peserta termasuk dalam talian dari 80 negara.
Bertemakan "Securing Today's Energy System, Transforming Energy for Tomorrow," SIEW memberi tumpuan kepada isu-isu asas dalam industri tenaga, termasuk jaminan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan selamat.
Mengenai bagaimana Asia dapat menerajui perbincangan global mengenai sistem tenaga yang selamat dan bagaimana perkongsian adalah kritikal bagi kepimpinan tenaga, beliau memberitahu bahawa saling ketergantungan tenaga melalui AI adalah penting.
Keselamatan tenaga bergantung kepada AI, daripada pengesanan ancaman masa nyata sehingga kecekapan dalam keseimbangan tenaga boleh baharu, pengembangan melalui AI, sebaliknya, amat bersandarkan kepada tenaga yang selamat, boleh dipercayai dan rendah karbon.
"Ketergantungan ini membentuk bentuk perkongsian baharu antara utiliti, pusat data dan inovator digital untuk membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta pintar," katanya.
"Pendigitalan menyokong keseimbangan strategik dan ekuiti tenaga di rantau ini," katanya.
Beliau ketika mengulas lebih lanjut menjelaskan pendigitalan adalah tonggak utama dalam integrasi serantau kerana ia mengubah infrastruktur tenaga menjadi rangkaian yang bijak, penjanaan nilai yang akan menjana pengembangan grid tenaga ASEAN dengan selamat.
Pendigitalan menggabungkan daya tahan dengan pulangan pelaburan, menjadikan pelaburan siber dan digital ke dalam nilai perniagaan, katanya.
Ia juga melibatkan kolaborasi yang mengumpulkan nilai, yang mana piawaian, data dan kecerdasan bersama mampu meningkatkan pulangan ke atas pendigitalan serantau.
"Integrasi ASEAN amat bergantung kepada grid siap digital boleh dipercayai dan berdaya tahan," kata Azlan.
Kesimpulannya, Azlan menegaskan kepercayaan digital akan mengukuhkan kebolehpercayaan merentasi grid; keselamatan siber adalah tonggak grid yang saling bersambung, jaminan tenaga merupakan tanggungjawab bersama; ketahanan siber membina keyakinan perniagaan dan inovasi hari ini akan menjana keterjaminan sistem akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial