KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Untung bersih TH Plantations Bhd melonjak kepada RM31.60 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2025 daripada RM21.55 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Kumpulan itu berkata, prestasi yang memberangsangkan berkenaan disokong oleh harga produk kelapa sawit yang lebih tinggi selain disiplin operasi yang berterusan di seluruh ladang dan kilangnya.
TH Plantations berkata perolehan turut meningkat sebanyak 3.01 peratus kepada RM259.57 juta daripada RM251.99 juta sebelumnya.
"Pertumbuhan ini dipacu terutamanya daripada harga purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM), isirung sawit dan tandan buah segar (TBS) serta peningkatan jumlah jualan isirung sawit dan TBS walaupun terdapat penurunan dalam jumlah jualan MSM," katanya.
Kumpulan itu berkata demikian dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi sembilan bulan pertama 2025, untung bersih kumpulan naik kepada RM56.24 juta daripada RM45.0 juta manakala perolehan berkembang kepada RM658.71 juta daripada RM607.32 juta sebelumnya.
Mengenai prospeknya, TH Plantations berkata prospek harga MSM dijangka kekal mencabar dengan ketidaktentuan dan tekanan pada suku akan datang, dipacu oleh permintaan global yang kompetitif, ketidaktentuan geopolitik yang berterusan selain peningkatan pengeluaran.
"Dengan pengeluaran dijangka memuncak pada suku keempat dan bekalan yang kukuh daripada minyak sayuran lain terutamanya minyak kacang soya, tekanan harga dijangka berterusan. Hala tuju pasaran juga akan bergantung pada kadar kecepatan program biodiesel Indonesia," katanya.
Sekiranya tiada perkembangan keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu berkata ia yakin dapat menghasilkan prestasi operasi yang memuaskan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2025, disokong oleh pelaksanaan yang berdisiplin serta bertumpu pada penciptaan nilai jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial