KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pembayaran rentas sempadan ASEAN menggunakan sistem kod Respons Pantas (QR) mencatatkan lonjakan dengan mencapai 12.9 juta transaksi pada separuh pertama 2025, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata perkembangan ini meletakkan asas untuk pengembangan selanjutnya dengan rangkaian rentas untuk negara tambahan sedang diteroka dan dilaksanakan bagi memperdalam ketersambungan serantau.
“Berasaskan inisiatif ini, seperti Projek Nexus yang diketuai bersama oleh Malaysia dan rakan kongsi serantau sedang berusaha meneroka batas baharu dalam pembayaran digital.
“Dengan menghubungkan sistem pembayaran segera merentas sempadan, Projek Nexus membolehkan transaksi runcit dilakukan hampir serta-merta,” kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Tahunan Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN ke-48, di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata selain kelajuan dan kecekapan, Projek Nexus juga boleh memajukan keterangkuman kewangan.
“Ia membolehkan para pekerja, usahawan mikro dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi bersepadu tanpa memerlukan pengaturan perbankan yang kompleks — semuanya didayakan oleh kewangan digital.
“Melangkaui pembayaran digital, sektor kewangan sedang mempertingkat usaha menggalakkan penyelesaian mata wang tempatan serta memperdalam ketersambungan perbankan dan pasaran modal bagi menyokong perniagaan di seluruh rantau ini merealisasikan potensi mereka,” katanya.
Selain itu, Abdul Rasheed berkata pada peringkat dasar, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) merupakan satu langkah berani ke hadapan.
“Dengan mengharmonikan peraturan mengenai tadbir urus data, e-pembayaran, identiti digital dan keselamatan siber, DEFA sedang menyediakan landasan untuk sebuah ekonomi digital tanpa sempadan — yang selamat, berskala dan inklusif sejak daripada pembentukkannya.
“Usaha ini sedang membuka potensi peluang kepada jutaan orang untuk mengakses dan meraih manfaat daripada ekonomi digital,” tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial