EKONOMI > BERITA

MINGGU PULAU PINANG DI OSAKA JANA POTENSI PELABURAN RM426 JUTA

19/11/2025 03:59 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) — Penganjuran Minggu Pulau Pinang di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Osaka 2025 dijangka menjana potensi pelaburan berjumlah RM426 juta kepada negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata program itu mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi, pusat inovasi serta hab pelancongan budaya bertaraf dunia, sekali gus memberi impak ekonomi dan imej yang ketara di peringkat antarabangsa.

“Dari segi kesan ekonomi, Minggu Pulau Pinang telah membuka peluang kerjasama strategik dengan pelabur dan syarikat antarabangsa melalui 20 sesi padanan perniagaan yang melibatkan syarikat dari Jepun.

“Sepanjang program ini, tiga memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pelabur asing.

“MoU ini melibatkan nilai pelaburan berpotensi sebanyak RM426 juta, iaitu dengan FedEx (RM153 juta), DHL (RM153 juta) dan Shizen International & Atlantic Blue (RM120 juta),” katanya dalam jawapan bertulis pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Dari aspek promosi antarabangsa, katanya, program itu telah memperkenalkan Pulau Pinang melalui pelbagai aktiviti seperti demonstrasi masakan tempatan serta pameran syarikat dan usahawan Pulau Pinang dalam sektor semikonduktor, halal dan pelancongan.

Beliau berkata penyertaan itu turut mengukuhkan jaringan pelaburan, pelancongan dan diplomasi perdagangan antara Pulau Pinang dan Jepun, serta meletakkan negeri itu sebagai destinasi utama bagi pelaburan berkualiti tinggi dan pelancongan berasaskan warisan.

“Kos keseluruhan penganjuran melibatkan peruntukan RM2.145 juta, dengan penyertaan delegasi daripada pelbagai agensi kerajaan negeri, pemain industri dan penggiat seni budaya.

"Sepanjang tempoh penganjurannya, Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025 itu menerima sambutan luar biasa dengan jumlah pengunjung yang amat memberangsangkan," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan