EKONOMI > BERITA

PTM LABUR RM2.6 BILION BINA KILANG PENGELUARAN TAYAR MESRA ALAM DI KEDAH RUBBER CITY

18/11/2025 03:50 PM

ALOR SETAR, 18 Nov (Bernama) -- Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd (PTM) akan melaksanakan pelaburan kumulatif berjumlah RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun untuk membangunkan sebuah kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam di Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, dekat sini.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini berkata pelaburan itu membabitkan dua fasa dengan fasa 1 sebanyak RM1.2 bilion dan fasa 2 berjumlah RM1.4 bilion dalam tempoh 15 tahun.

Fasiliti baharu yang terletak di kawasan seluas 102.63 ekar (41.53 hektar) di KRC itu dijangka beroperasi pada suku pertama 2027 dan akan menjadikan Kedah sebagai hab utama pembuatan tayar tercanggih di Asia Tenggara.

“Kapasiti pengeluaran akan dilancarkan dalam dua fasa, bermula dengan pengeluaran tahunan enam juta tayar Radial Kereta Penumpang (PCR) dan 600,000 tayar Radial Trak dan Bas (TBR), sebelum berkembang kepada sembilan juta tayar PCR.

“Fasiliti ini akan menggunakan proses pembuatan pintar, mengintegrasikan teknologi Industri 4.0 dengan sistem automasi berskala tinggi, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus dan gudang pintar, yang kesemuanya direka untuk memberikan kualiti produk, kecekapan operasi dan kemampanan,” kata kenyataan itu.

Setelah beroperasi sepenuhnya, kilang berkenaan bakal mewujudkan sebanyak 1,056 peluang pekerjaan tempatan bernilai tinggi dalam kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pentadbiran.

Menurut kenyataan itu, projek tersebut dijangka merangsang pertumbuhan rantaian bekalan tempatan yang komprehensif, memberikan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan vendor dalam pemprosesan getah, bekalan bahan kimia, kejuruteraan tepat dan perkhidmatan berkaitan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata pelaburan penting tersebut membuktikan visi strategik dan potensi KRC.

“Keputusan PTM untuk menubuhkan fasiliti mereka di sini adalah pemangkin dalam menarik gelombang baharu pelaburan bernilai tinggi, seterusnya meletakkan KRC sebagai hab industri getah utama di ASEAN,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula berkata pelaburan itu mencerminkan daya tarikan Malaysia yang berterusan sebagai destinasi untuk projek berintensifkan modal yang utama.

“Sebagai sebuah negara dengan asas getah asli yang kukuh, Malaysia menawarkan ekosistem bersepadu yang menyokong pembuatan tayar bernilai tinggi,” katanya.

KRC dirancang sebagai projek berimpak tinggi nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030 dan berfungsi sebagai taman perindustrian getah khusus pertama Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan