KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Johor Capital Group (JCG) hari ini memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan HGC Global Communications Ltd (HGC) dan Legan Group (Legan) yang berpangkalan di Hong Kong.
MoU itu bertujuan membantu Malaysia mencapai cita-citanya untuk menjadi hab serantau bagi ketersambungan digital, infrastruktur data dan inovasi kecerdasan buatan (AI).
Dalam satu kenyataan hari ini, JCG iaitu entiti yang baru ditubuhkan di bawah Johor Corporation (JCorp) berkata MoU dengan HGC itu mewujudkan perkongsian strategik bagi membangunkan infrastruktur digital bersepadu yang merangkumi sistem kabel dasar laut dan darat, stesen pendaratan kabel, pertukaran internet dan perniagaan saling hubung pusat data (DCI) di bawah projek Gerbang Timur Barat (EWG).
“Projek EWG bertujuan mengukuhkan koridor digital Asia, meningkatkan daya tahan rangkaian dan kecekapan data trafik antara pasaran serantau utama sambil memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ketersambungan utama antara rangkaian internet global.
“Mengikut kerjasama ini, JCG akan bertindak sebagai rakan kongsi infrastruktur HGC Malaysia.
“Ia akan memudahkan kesalinghubungan gentian daratan dan menyediakan akses kepada asetnya, termasuk tanah, bangunan dan infrastruktur fizikal yang kritikal,” katanya.
JCG juga telah memeterai MoU berasingan dengan Legan Group bagi mewujudkan rangka kerja kerjasama dalam pemilikan, pembangunan dan pengendalian pusat data generasi akan datang dan pusat data AI di Malaysia, terutamanya di Johor, yang pesat membangun sebagai koridor data dan inovasi AI di Asia Tenggara.
“Menerusi kerjasama ini, JCG dan Legan akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan sedia AI yang mampu menyokong keperluan pengkomputeran berkepadatan tinggi, sambil memajukan komitmen Malaysia terhadap infrastruktur digital yang mampan dan cekap tenaga,” kata kenyataan itu.
“Selain infrastruktur, Legan Group akan meningkatkan inovasi merentasi industri seperti pembuatan, logistik, kewangan dan penjagaan kesihatan, menyampaikan AI Agentik yang ‘selamat dan terjamin’ untuk perusahaan dan kerajaan,” katanya.
Ia bertujuan menarik hiperskala global, penyedia perkhidmatan awam dan perusahaan AI ke Johor, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai gerbang ekonomi digital yang strategik untuk Singapura dan ASEAN.
Pengarah Urusan Kumpulan JCG Datuk Mahadhir Aziz berkata kerjasama dengan rakan kongsi Hong Kong itu adalah sejajar dengan inisiatif JCorp untuk mengubah Johor dan membentuk semula landskap ekonomi baharu Malaysia melalui kemajuan teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial