EKONOMI > BERITA

PM ANWAR AKHIRI LAWATAN BERSEJARAH KE ETHIOPIA, CAPAI MISI PERKUKUH HUBUNGAN DAN KERJASAMA

20/11/2025 06:50 PM

Daripada M. Saraswathi

ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan selama tiga hari ke Ethiopia dengan mencatatkan kejayaan melalui perbincangan yang produktif mengenai potensi bidang kerjasama yang saling memberikan manfaat.

Malaysia membuka semula Kedutaan Besarnya di sini pada 23 Sept 2025, selepas ditutup selama 42 tahun, memperkukuh hasratnya untuk terus meningkatkan hubungan dua hala yang erat.

Suasana mesra dan akrab dapat dilihat melalui interaksi antara Anwar dan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali.

“Walaupun tahap perdagangan dan pelaburan antara kami tidak besar pada masa ini, kami komited untuk meningkatkannya,” kata Anwar kepada media Malaysia pada akhir lawatan beliau di sini.

Pada 2024, Ethiopia disenaraikan sebagai rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika. Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM625.6 juta, dengan eksport dari Malaysia bernilai RM579.9 juta, mewakili peningkatan 50 peratus daripada tahun sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Ethiopia kebanyakannya terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, kimia dan produk kimia serta tekstil, pakaian dan kasut.

Import dari Ethiopia termasuklah produk pertanian, peralatan pengangkutan serta bijih logam dan skrap logam. Imbangan perdagangan memberi kelebihan kepada Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan Ethiopia di benua tersebut adalah strategik bagi pasaran Afrika.

Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002, dianggotai 55 negara dan beribu pejabat di Addis Ababa. Peranannya ialah menggalakkan kerjasama antarabangsa serta pertumbuhan dan pembangunan ekonomi benua itu. Ia adalah suara perwakilan benua itu di pentas global.

“Ethiopia mempunyai pengaruh yang kuat di Afrika kerana ia mempunyai populasi seramai 130 juta orang dan ekonominya berkembang dengan agak pesat,” kata beliau.

Mengenai sama ada sektor swasta memainkan peranan yang dominan dalam ekonomi Ethiopia, Anwar berkata sektor swasta adalah penting dan kerajaan menyediakan bantuan yang diperlukan untuk mempercepat proses perdagangan, yang membina keyakinan.

“Itu sebabnya terdapat kehadiran wakil sektor swasta Malaysia yang besar di sini,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar berkata kedua-dua kerajaan akan melaksanakan apa yang perlu untuk memudah cara dan mempercepat kerjasama ekonomi di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia.

Terdapat 54 syarikat Ethiopia yang mengambil bahagian, dengan 22 daripada sektor pembuatan dan 29 daripada sektor perkhidmatan serta tiga agensi kerajaan. Kira-kira 200 wakil perniagaan, termasuk lebih 70 dari Malaysia, menghadiri forum tersebut.

Anwar memuji keterbukaan Ethiopia yang mempunyai sejarah menerima penghijrahan awal umat Islam. 

Beliau berpendapat bahawa semangat itu masih relevan hari ini, khususnya dalam memupuk kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata Ethiopia membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara tidak hanya pada kekuasaan tetapi pada kesanggupan melindungi dan memuliakan insan.

“Saya membawa semangat itu ke forum perniagaan hari ini, menegaskan bahawa kerjasama ekonomi tidak semata-mata angka dan kontrak tetapi wahana untuk memperluas kepercayaan, empati dan manfaat bersama,” kata beliau.

Selain pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Abiy Ahmed, Anwar juga bertemu Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie dan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC) Mahmoud Ali Youssouf, yang dari Djibouti.

Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Negara juga dikenali Istana Jubli, merupakan sebuah bangunan bersejarah di pusat bandar Addis Ababa.

Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.

Lawatan Anwar selama tiga hari ke negara itu – yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia – juga merupakan lawatan balas selepas kunjungan rasmi Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Kemudiannya, beliau akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November, sebelum pulang ke tanah air.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan