Daripada Farah Najihah Zuraimi
TOKYO, 21 Nov (Bernama) -- Penantian tujuh hari penuh debaran kontinjen Malaysia berakhir dengan kegembiraan apabila acara doubles boling menghadiahkan emas pertama negara pada Deaflympics 2025 di sini hari ini.
Dalam pusingan akhir yang berlangsung sengit di Higashiyamato Grand Bowl, Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong melangkaui jangkaan dengan persembahan cemerlang untuk mengejutkan Ukraine 2-1.
Meskipun berdepan tekanan daripada khalayak yang mengharapkan kemenangan, gandingan itu kekal fokus bagi mengumpul jatuhan pin 243, 181 dan 226 sekali gus mengatasi Danyliuk Vadym dan Ialovega Vladyslav.
Syabil, 21, yang baru digabungkan dengan Choon Seong bulan lepas berkata keserasian mereka memainkan peranan penting dan kedua-duanya sentiasa menyaingi intensiti masing-masing untuk terus mempamerkan prestasi baik sepanjang pertandingan.
“Alhamdulillah. Hari ini rezeki kami menang pingat emas Deaflympics. Saya sangat gembira dapat banggakan ibu bapa. Pingat ini untuk mereka kerana mereka telah melakukan segalanya untuk menyokong saya,” katanya menerusi jurubahasa isyarat kepada Bernama.
Choon Seong pula menzahirkan penghargaan buat jurulatih pasukan yang telah membimbing mereka pada detik-detik sukar, menyatakan bahawa segala kesusahan diharungi dirasakan berbaloi pada ketika jatuhnya pin terakhir.
Apa yang mengagumkan, kemenangan mereka tiada dalam jangkaan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), sekali gus membantu kontinjen negara menghampiri sasaran tiga emas.
Sebelum ini MSDeaf menyasarkan emas menerusi acara beregu wanita dan beregu campuran dalam badminton serta boling berpasukan lelaki.
Setakat ini, badminton telah menyumbang gangsa menerusi acara beregu campuran manakala acara boling berpasukan lelaki akan berlangsung Ahad ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial