EKONOMI > BERITA

CCOB JANGKA RUU KREDIT PENGGUNA BOLEH DIKUATKUASAKAN PADA SUKU PERTAMA 2026

21/11/2025 11:17 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 yang memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika dijangka dikuatkuasakan pada suku pertama 2026, kata Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB). 

Ketua Pasukan Petugas CCOB Abu Hassan Alshari Yahaya berkata pihaknya kini sedang menunggu proses untuk akta itu diwartakan dan tindakan susulan adalah untuk menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna. 

"Pelaksanaan akta itu akan mewujudkan rejim pemberi kuasa baharu yang membolehkan kerajaan melesenkan penyedia kredit bukan bank, termasuk syarikat Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang ketika ini beroperasi tanpa penyeliaan mana-mana pihak berkuasa.

"Objektif utama akta ini adalah untuk mengawal selia sektor kredit pengguna serta meningkatkan perlindungan kepada pengguna, terutamanya mereka yang berurusan dengan pemberi kredit yang belum dikawal selia. Kita mahu memastikan mereka beroperasi secara adil, bertanggungjawab dan telus," katanya ketika ditemu ramah Bernama.

Menurut Kementerian Kewangan, Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 telah diluluskan di Dewan Negara pada 4 Sept dan dijangka diwartakan pada akhir tahun ini. 

Abu Hassan berkata apabila akta itu digazetkan, CCOB akan mengeluarkan garis panduan serta standard yang wajib dipatuhi semua syarikat pemberi kredit dan penyedia perkhidmatan kredit berlesen.

"Kita akan memberikan kejelasan tentang keperluan 'fit and proper' serta operasi standard yang mesti dipatuhi apabila proses pelesenan bermula," katanya.

Melalui akta berkenaan, syarikat pemberi kredit akan melalui proses penilaian wajar (due diligence) dan penilaian akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kemampuan mereka untuk berlaku adil dalam menjalankan operasi BNPL apabila dilesenkan nanti.

Mengulas mengenai trend sektor BNPL, Abu Hassan menjelaskan bahawa penggunaan kemudahan itu terus meningkat tahun ini dengan jumlah pengguna aktif mencecah kepada hampir 6.5 juta pada separuh pertama 2025. 

"Kita menjangkakan trend ini akan terus meningkat," sambil menambah CCOB akan memantau rapat risiko keberhutangan dalam kalangan pengguna.

Beliau berkata 70 peratus segmen pengguna BNPL ketika ini terdiri daripada kumpulan berpendapatan bawah RM5,000 sebulan manakala 40 peratus pengguna adalah daripada golongan belia.

"Ini kumpulan yang mungkin lebih terdedah kepada risiko kewangan. Walaupun nilai pinjaman kecil, pengumpulan hutang tanpa kawal selia boleh menyebabkan mereka mudah terjejas. Sebab itu keperluan kawal selia amat penting,” katanya.

Setakat ini terdapat kira-kira 16 syarikat BNPL beroperasi di Malaysia, dengan tiga pemain utama menguasai kira-kira 90 peratus pasaran.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan muda agar menggunakan kemudahan BNPL secara berhemah.

Tegasnya penggunaan produk kewangan mesti disertai dengan kemahiran dan ilmu kewangan. 

"BNPL ada manfaatnya, tetapi pengguna harus peka terhadap caj, terma dan syarat, serta membuat penilaian yang tepat sebelum berhutang," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan