EKONOMI > BERITA

PENGELUARAN MSM MALAYSIA 2025 DIJANGKA MELEBIHI 19.5 JUTA TAN - PENGERUSI MPOB

21/11/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bagi 2025 dijangka melebihi pengeluaran tahun lepas, dengan unjuran menunjukkan jumlah pengeluaran boleh melebihi 19.5 juta tan, meningkat daripada 19.3 juta tan yang direkodkan pada 2024.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata walaupun tahun ini belum berakhir namun, anggaran semasa menunjukkan pengeluaran MSM negara adalah lebih tinggi, disokong oleh harga yang menggalakkan.

“Setakat ini, harga adalah lebih tinggi berbanding tahun lepas. Berdasarkan pengeluaran dan harga semasa, eksport kita juga berkemungkinan lebih tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Perlindungan Sawit (ICOPP) di sini, hari ini.

Beliau berkata data eksport akhir akan diumumkan pada Januari 2026 ketika seminar tinjauan dan pandangan ekonomi tahunan MPOB, apabila data penuh 2025 diperoleh.

Mohamad Helmy berkata pengeluaran MSM Malaysia dijangka meningkat tahun ini meskipun industri menghadapi beberapa cabaran berterusan.

“Sebahagian daripada cabaran ini adalah yang paling menjejaskan manakala dalam sesetengah kes tidak boleh dipulihkan, berpunca daripada perosak, penyakit, serangan rumpai, kemerosotan kesuburan tanah serta impak perubahan iklim yang semakin buruk.

“Jika tidak diuruskan, ancaman ini berisiko menjejaskan kemajuan selama beberapa dekad dan menggugat kemampanan jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan yang besar adalah reput pangkal batang yang disebabkan oleh kulat Ganoderma Boninense, di samping penyakit bintik pada daun serta patogen baharu yang terus menjejaskan produktiviti.

“Dari aspek perosak pula, ulat bungkus masih menjadi antara serangga pemakan daun paling serius di ladang kelapa sawit, mampu menyebabkan peluruhan daun yang teruk dan kerugian hasil yang besar jika tidak dikawal.

“Pada masa ini, reput pangkal batang dan serangan ulat bungkus kekal sebagai dua ancaman perosak dan penyakit yang paling menjejaskan sektor sawit Malaysia,” katanya.

ICOPP, anjuran bersama MPOB dan International Society for Oil Palm Protection (ISOPP), diadakan buat kali pertama pada tahun ini sempena Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC) 2025.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Setiausaha Agung Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Izzana Salleh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan