Daripada M.Saraswathi
JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Perniagaan di Malaysia dan Afrika Selatan mempunyai peluang untuk sama-sama membentuk fasa seterusnya dalam kerjasama ekonomi dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata asas perindustrian Afrika Selatan yang pelbagai, disokong oleh sistem logistik yang kukuh, sistem kewangan yang maju dan tenaga kerja mahir, menyediakan asas yang amat baik untuk kerjasama yang lebih meluas.
“Kami melihat potensi yang kukuh dalam sektor bernilai tinggi, termasuk ekosistem automotif dan kenderaan elektrik (EV), integrasi rantaian nilai perlombongan dan mineral, pembangunan industri halal, petrokimia, pemprosesan pertanian, tenaga boleh baharu, teknologi digital dan logistik,” kata beliau.
Anwar berkata demikian pada Forum Perniagaan bersama Peneraju Industri Afrika Selatan di sini hari ini, yang menyaksikan penyertaan daripada 200 syarikat.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan, Industri dan Persaingan Afrika Selatan Alexandra Lilian Amelia Abrahams serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ia turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat Malaysia seperti PROTON, Sime Darby, UEM Sunrise, Country Heights dan MR D.I.Y. telah mewujudkan operasi mereka di Afrika Selatan, menunjukkan keyakinan terhadap pasaran dan trajektori pertumbuhan negara itu.
“Kami mengalu-alukan syarikat Afrika Selatan untuk meneroka peluang yang luas di Malaysia dan juga di ASEAN.
“Dalam perkara ini, Malaysia boleh menjadi pintu masuk strategik yang menghubungkan keupayaan perindustrian Afrika Selatan dengan permintaan, teknologi dan rantaian nilai dengan pertumbuhan tinggi di Asia,” kata Perdana Menteri.
Anwar turut menekankan bahawa transformasi ekonomi Malaysia meletakkan kemampanan sebagai teras pembangunan perindustrian.
“Kami memacu inisiatif tenaga boleh baharu, teknologi hijau, pembangunan hidrogen, ekosistem EV dan ekonomi kitaran,” kata beliau.
Ini sejajar dengan keutamaan Afrika Selatan sendiri mengenai peralihan tenaga dan tenaga boleh baharu.
“Terdapat ruang yang luas untuk kerjasama dalam pertukaran teknologi dan pelaburan bersama dalam hidrogen, mobiliti hijau, pertanian pintar iklim dan penyelesaian perlombongan mampan,” kata beliau.
Anwar kini dalam lawatan kerja selama empat hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di sini, yang bermula esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial