EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SEDIA PERKUKUH KERJASAMA DALAM BIDANG HALAL DI BENUA AFRIKA - PM ANWAR

21/11/2025 07:28 PM

 

Daripada Saraswathi Muniappan

JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama dalam bidang halal dengan negara-negara Afrika termasuk pembangunan pensijilan halal serta kapasiti yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti Islam setempat. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara demikian dinyatakan beliau dalam satu pertemuan bersama para pemimpin Islam Afrika Selatan di sini.

“Memulakan program hari ini dengan sesi libat urus bersama pimpinan Islam Afrika Selatan, pertemuan yang membuka ruang bermakna untuk kami berbincang, bertukar pandangan serta mengenal pasti usaha-usaha bagi memperkukuh pembangunan ummah. 

“Sebagai lambang persaudaraan, saya turut menyerahkan sumbangan senaskhah al-Quran edisi khas beserta rehal, selain empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman media sosial selepas pertemuan tersebut.

Anwar berada di sini sempena lawatan kerja empat hari bermula semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

Perdana Menteri diundang menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang bermula esok sehingga 23 November atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan