EKONOMI > BERITA

MALAYSIA HARUS PERCEPAT PENGGUNAAN TEKNOLOGI, PERKUKUH RANTAIAN BEKALAN UNTUK PERALIHAN TENAGA - TPM FADILLAH

22/11/2025 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia harus mempercepatkan penggunaan teknologi untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran peningkatan permintaan, ketidakpastian harga global, perubahan dalam landskap pelaburan dan usaha pantas ke arah penyahkarbonan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada masa sama, revolusi teknologi, didorong oleh pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan dan bahan api baharu, sedang mengubah sektor ini pada kadar pantas yang belum pernah terjadi sebelumnya, katanya.

“(Selain meningkatkan penggunaan teknologi,) kita perlu mereka bentuk laluan pembiayaan yang mengiktiraf lengkungan nilai peralihan yang panjang, bukan sekadar pulangan segera.

“Dan apa yang paling penting, kita mesti memupuk dan memperkasakan bakat yang akan membawa kisah tenaga Malaysia ke dekad akan datang dan seterusnya,” katanya dalam ucapannya di Anugerah Serantau Majlis Industri Tenaga (EIC) Asia Pasifik 2025 hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia sedang mengembangkan tenaga boleh baharu, memperkukuh fleksibiliti grid, meletakkan Malaysia sebagai hab hidrogen, dan meneroka penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai pemboleh utama penyahkarbonan perindustrian.

Beliau berkata walaupun Malaysia mengalu-alukan kepakaran global, ia komited sepenuhnya untuk menyokong “jaguh tempatan.”

“Mereka adalah syarikat yang akan berkembang bersama kita dan mengukuhkan daya saing jangka panjang kita,” katanya.

Fadillah berkata apabila peralihan tenaga negara semakin pantas, rantaian bekalan mesti berkembang bersamanya, menerima pakai teknologi baharu, piawaian baharu dan bentuk kerjasama baharu.

Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk membina ekosistem yang memperkasa pembekal untuk berinovasi, berkembang dan memimpin.

Gala Asia Pasifik Anugerah Serantau EIC di Kuala Lumpur telah diadakan untuk mengiktiraf penyampaian, kepimpinan teknologi dan pertumbuhan merentasi rantaian bekalan tenaga rantau ini.

Majlis itu merupakan sebahagian daripada Anugerah Rantaian Bekalan Tenaga Dunia (WESCA), kini merupakan program anugerah terbesar seumpamanya dengan acara tahunan di London, Houston, Rio de Janeiro, Dubai dan Kuala Lumpur.

EIC adalah salah satu persatuan perdagangan tenaga terbesar di dunia, menyediakan data projek, risikan pasaran, acara dan advokasi untuk perniagaan rantaian bekalan di seluruh dunia.

Tahun ini, sembilan syarikat telah disenarai pendek untuk WESCA merentasi empat kategori, iaitu Kolaborasi, Insan (Individu) dan Transformasi; Teknologi dan Kemampanan; Inovasi dan Digital serta Perkhidmatan dan Penyelesaian.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan