AM > BERITA

130 Pelajar Cemerlang SPM, STPM Parlimen Sg Buloh Terima Bantuan Awal Pengajian - Ramanan

24/11/2025 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Seramai 130 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajar Malaysia (STPM) dari Parlimen Sungai Buloh yang berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) menerima bantuan pengajian sebanyak RM50,750.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan dalam hantaran di Facebook memaklumkan daripada jumlah berkenaan, RM38,500 merupakan sumbangan Bank Rakyat manakala RM12,250 lagi sumbangan peribadinya.

"Disebabkan jadual tugas di Sabah, saya tidak hadir bersama mereka hari ini, namun saya sempat berbicara bersama para pelajar melalui liputan panggilan video dan saya telah mewakilkan Setiausaha Sulit Kanan saya Firdaus Farid untuk menghadiri program bagi pihak saya.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua anak-anak Sungai Buloh atas kejayaan cemerlang ini," katanya.

Naib Presiden PKR itu berkata program dilaksanakan bersama Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat di Sungai Buloh sejak 2024 merangkumi insentif pelajar cemerlang SPM 2024 dan 2025, insentif bantuan sekolah dan persekolahan, bantuan Back to School 2024 dan 2025, Program Tuisyen Rakyat dan bantuan awal pengajian 2024.

Menurutnya, sejak 2024, Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat menyalurkan hampir RM1.2 juta kepada lebih 4,000 penerima merangkumi pelajar, keluarga serta golongan memerlukan daripada pelbagai kaum di Parlimen Sungai Buloh.

"Terima kasih kepada Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat atas kerjasama erat bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh.

“Usaha seperti inilah yang terus mengangkat masa depan anak-anak kita dan memperkukuh kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan