EKONOMI > BERITA

TIADA ISU PERSEPSI NEGATIF PEMBELI EROPAH MENGENAI SAF BERASASKAN SAWIT - JOHARI

24/11/2025 11:56 AM

JOHOR BAHRU, 24 Nov (Bernama) — Tidak timbul isu persepsi negatif dalam kalangan pembeli Eropah mengenai kesesuaian minyak sawit sebagai bahan utama dalam bahan api penerbangan mampan (SAF), kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata minyak masak terpakai (UCO) yang menjadi stok suapan utama SAF misalnya, mendapat penarafan tinggi di Eropah dan diterima sebagai bahan mentah berkualiti.

“Selain itu, Malaysia juga mempunyai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang memastikan setiap tan metrik sawit dihasilkan secara lestari dan (sekali gus) memberi keyakinan kepada pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat loji biopenapisan SAF pertama negara, Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat di sini, hari ini.

Loji itu yang mempunyai kapasiti berlesen sebanyak 350,000 metrik tan setahun, telah memulakan pengeluaran SAF pada bulan lepas. 

Laporan media sebelum ini mengetengahkan kebimbangan kesesuaian minyak sawit sebagai stok suapan atau bahan mentah SAF, terutama susulan persepsi negatif pembeli Eropah berkaitan isu pembasmian hutan dan kelestarian alam sekitar.

Mengulas selanjutnya, Johari berkata Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, juga mempunyai kelebihan dari sudut bekalan bahan mentah untuk industri SAF.

Inisiatif SAF itu juga, katanya, adalah sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan boleh dikategorikan sebagai aktiviti perniagaan rendah karbon.

Terdahulu ketika berucap, Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang giat melakukan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan selain bekerjasama erat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi membangunkan mandat campuran SAF negara.

Ini termasuk rancangan memperkenalkan mandat campuran awal sebanyak satu peratus SAF bagi penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

“Sejak Julai 2023, KPK bersama Petronas Dagangan Bhd, telah menganjurkan program kesedaran bagi menggalakkan usaha pengumpulan UCO.

“Setakat September lepas, lebih 1,200 tan UCO telah dapat dikumpulkan daripada hampir 66,000 pelanggan di 89 stesen minyak Petronas terpilih di serata negara,” katanya.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan