KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Walaupun cukai bernilai tinggi (HVGT) tidak diteruskan, bagaimanapun prinsip asas cukai berkenaan disemak semula dan diselaraskan dengan penambahbaikan akta percukaian sedia ada melalui kadar semakan semua kadar cukai jualan dan perluasan skop cukai perkhidmatan (SST), berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025, kata Kementerian Kewangan.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata menerusi pendekatan itu, barangan mewah dan barangan pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar lima atau 10 peratus selaras dengan matlamat asal HVGT untuk memastikan golongan berkemampuan menyumbang secara saksama kepada hasil negara.
“Kadar cukai jualan tersebut dianggap memadai (mencukupi) buat masa kini untuk dikenakan kepada golongan berkemampuan yang membeli atau menggunakan barangan bukan asas tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun-PN) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memperkenal mekanisme baharu lebih menyeluruh bagi memastikan cukai terhadap golongan kaya dan pemilik barangan mewah dapat dikutip secara berkesan selepas HVGT dibatalkan.
Pada masa sama, Hui Ying menegaskan kerajaan sentiasa komited dalam menggalaskan tanggungjawab memperkukuhkan kedudukan fiskal negara, namun tetap memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Pendekatan itu juga lebih menyeluruh kerana mengambil kira kesan kepada industri dan pengguna serta memastikan pelaksanaannya dapat dijalankan secara lebih lancar dan berkesan di bawah sistem percukaian sedia ada, katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus menilai keberkesanan langkah berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan struktur pencukaian kekal progresif, mampan dan seiring dengan keperluan fiskal negara.
Sementara itu, Hui Ying berkata kerajaan akan menyemak dari semasa ke semasa pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah (LVG) terhadap produk import berharga RM500 ke bawah dijual dalam talian bagi memastikan semua percukaian dilaksanakan secara adil.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan mengapa LVG dikutip daripada rakyat tetapi cukai HVGT tidak dikutip dan tidak diteruskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial