KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Malaysia komited untuk meneruskan usaha menggunakan pendekatan menyeluruh ke arah memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) tahun hadapan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), meletakkan hasrat yang tinggi untuk memuktamadkan rundingan DEFA demi kepentingan bersama dalam blok ekonomi kelima terbesar dunia itu.
“DEFA ini sangat penting kerana ia menumpukan bagaimana perjanjian itu dapat membantu kawasan ASEAN memperkembangkan lagi ekonomi serantau kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Gobind, perjanjian itu juga akan akan membolehkan transaksi rentas sempadan di antara setiap negara ahli ASEAN menjadi lebih mudah terutamanya dalam mengakses pasaran ASEAN yang mencecah lebih 700 juta populasi.
Beliau berkata pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, satu ‘substantial conclusion’ (kesimpulan yang penting) dicapai oleh negara-negara ahli ASEAN terhadap DEFA.
“Perjanjian itu membolehkan kita membuat rundingan rentas sempadan dengan lebih cepat supaya kita dapat memastikan bahawa potensi ekonomi ASEAN dicapai melalui pasaran yang lebih luas,” kata Gobind.
Pada 24 Oktober, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ASEAN yakin dapat menyelesaikan usaha ke arah memuktamadkan DEFA pada 2026, yang akan mengukuhkan peranan rantau ini dalam membentuk ekonomi digital global.
DEFA dijangka memacu pertumbuhan ekonomi digital ASEAN kepada US$1 trilion menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial