KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Oman menyambut Hari Kebangsaan ke-55 bulan ini, sekali gus menegaskan komitmen untuk memajukan pembangunan negara ke arah merealisasikan Visi 2040.
Duta Oman ke Malaysia Sheikh Al-Abbas Ibrahim Al Harthi berkata tahun 2025 menandakan beberapa pencapaian penting bagi Oman, khususnya dalam pemodenan ekonomi dan kewangan, yang dibuktikan melalui peningkatan kecekapan perbelanjaan awam, pencapaian penarafan kredit bertaraf pelaburan, serta pemeteraian perjanjian antarabangsa yang menggalakkan inovasi dan keusahawanan.
Beliau berkata Oman bersedia memperkenalkan sistem cukai pendapatan progresif yang direka untuk memastikan keadilan dan meluaskan sumber hasil.
Sektor bukan minyak kini menyumbang lebih 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, manakala hutang awam telah dikurangkan kepada sekitar 35 peratus.
“Selaras dengan Visi 2040, Oman sedang melaksanakan strategi nasional secara teliti yang memberi tumpuan kepada mempelbagaikan ekonomi, peralihan tenaga dan aspirasi mencapai keneutralan karbon menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan sokongan teguh Oman terhadap hak sah rakyat Palestin dan pembentukan sebuah negara berdaulat dalam sempadan yang ditetapkan pada 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur diiktiraf sebagai ibu kotanya.
“Oman menggesa masyarakat antarabangsa agar bertindak aktif ke arah merealisasikan penyelesaian dua negara. Strategi ini kekal sebagai satu-satunya laluan yang adil untuk mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah. Selain itu hanyalah penyelesaian sementara yang gagal menangani kepentingan bersama atau memupuk kestabilan sebenar,” katanya.
Kesultanan itu juga mengecam sebarang pelanggaran kedaulatan negara dan menyokong langkah-langkah yang menggalakkan pengurangan ketegangan, dialog, dan perlindungan nyawa orang awam.
“Oman melihat penggantungan sementara operasi ketenteraan sebagai peluang untuk menggiatkan semula perbincangan politik dan mendorong dialog bermakna yang membawa kepada keamanan adil, melindungi hak sah semua pihak yang terlibat sambil mengukuhkan keselamatan dan kestabilan serantau.
Al Harthi turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 serta pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Oman.
Beliau menyatakan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Perdana Menteri Oman bagi Hal Ehwal Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa merangkap Wakil Khas, Sayyid Asaad Tariq Al Said di luar Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 pada Mei lepas telah membuka ruang untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
“Kerjasama yang sedang berjalan merentasi pelbagai sektor disokong oleh satu Memorandum Persefahaman yang memfokuskan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Ini termasuk kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (FSA) Oman bagi mewujudkan Program Bersama Dua Tahun untuk Kerjasama Pembangunan Pasaran Modal yang bertujuan meningkatkan kerjasama pasaran modal melalui perkongsian ilmu, promosi penyenaraian silang dan peluasan peluang pelaburan dalam sektor kewangan konvensional dan Islam.
Dua Memorandum Persefahaman sedang dirangka dalam bidang kesihatan dan pendidikan tinggi, katanya.
Oman menyambut Hari Kebangsaannya setiap tahun pada 20 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial