KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Ekonomi ASEAN+3 menunjukkan daya tahan yang lebih kukuh daripada jangkaan di tengah-tengah perpecahan global, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar.
Beliau berkata Malaysia antara negara yang mencatat prestasi paling baik berikutan pertumbuhan, inflasi dan permintaan domestik yang kekal stabil secara keseluruhan,
Beliau menambah dua faktor struktural iaitu perpecahan geoekonomi dan revolusi kecerdasan buatan (AI) sedang membentuk semula pertumbuhan, perdagangan dan keadaan kewangan di seluruh rantau ini dengan kesan yang berpanjangan.
"Selepas beberapa dekad globalisasi, liberalisasi perdagangan dan pembukaan pasaran, kita kini berdepan dengan perpecahan ekonomi yang semakin meningkat, halangan tarif dan bukan tarif serta bentuk-bentuk sekatan dan pergeseran perdagangan yang lain.
"Perkara pentingnya di sini iaitu bagaimana isu ekonomi ini berkait rapat dengan pertimbangan geopolitik, keselamatan negara dan banyak lagi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pertama Forum Kerjasama Ekonomi dan Kestabilan Kewangan ASEAN+3 Ke-4 yang bertajuk Risiko Makroekonomi dan Integrasi Serantau di Tengah-Tengah Perpecahan Global.
Forum yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) itu diadakan di Hong Kong.
Marzunisham berkata aliran ini tidak mungkin bersifat sementara selain menjangkakan perpecahan ekonomi akan berterusan untuk beberapa waktu.
Pada masa yang sama, beliau berkata penerimaan AI yang pesat sedang memacu lonjakan pelaburan dan permintaan terhadap elektronik berteknologi tinggi serta ia memberi manfaat kepada beberapa ekonomi ASEAN+3 termasuk Malaysia.
"Berdasarkan pengalaman Malaysia, saya setuju iaitu kelemahan keadaan kewangan global dan pelaburan yang berkaitan dengan AI memberikan kesan positif kepada rantau ini. Pada awalnya, kami berfikir iaitu selepas aktiviti pengeluaran merosot, eksport kami mungkin terkesan.
"Namun, kami tidak melihat perkara itu berlaku. Eksport elektrik dan elektronik kekal sangat kukuh pada September dan Oktober, disokong oleh permintaan yang teguh terhadap semikonduktor dan cip," tambahnya.
Beliau berkata penghasilan eksport yang pelbagai di Malaysia membantu mengimbangi penghantaran yang lebih perlahan ke Amerika Syarikat (AS) dengan eksport yang kukuh ke China, Asia Timur dan ASEAN menyerap impak daripada kelembapan permintaan ke AS.
Sementara itu, Marzunisham menekankan mengenai pemeliharaan kestabilan kewangan dan monetari kekal menjadi tumpuan utama bagi pembuat dasar di rantau ini terutamanya di tengah-tengah peningkatan ketidaktentuan pasaran global.
Beliau menambah pengukuhan penampan luaran dapat memastikan sektor kewangan yang aktif dan mengekalkan rizab yang mencukupi selain ia merupakan keutamaan.
"Bercakap mengenai Malaysia, kerajaan melaksanakan beberapa perubahan untuk memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kapasiti produktif.
"Secara khusus, usaha untuk memperkukuh kedudukan fiskal, kami menyediakan ruang kepada negara untuk mengharungi tempoh yang akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial